Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Malaysia bukan Tanah Melayu' - Timbalan KM Sabah bidas Tajuddin

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Wilfred Madius Tangau menyelar kenyataan Anggota Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman di Dewan Rakyat yang mengatakan semua individu harus mengakui bahawa Malaysia merupakan  "Tanah Melayu".

Presiden Upko, menyifatkan kenyataan tersebut sebagai berbahaya dan mengabaikan kewujudan Sabah dan Sarawak sebagai rakan yang setaraf dalam Persekutuan.

"Kenyataan ni secara fakta salah, secara sejarah salah," kata Wilfred, yang juga anggota Parlimen Tuaran, dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Tajuddin pada Isnin lalu, mengatakan walaupun hak orang bukan Melayu harus dilindungi, setiap individu harus mengakui bahawa mereka tinggal di "Tanah Melayu" dan Bumiputera mempunyai hak istimewa.

Wilfred mengatakan bahawa kenyataan itu menunjukkan bahawa anggota parlimen Umno itu masih mempunyai pemikiran bahawa Malaysia adalah Persekutuan Tanah Melayu dan bukan Malaysia.

Pemikiran ini, katanya, sekiranya dipegang oleh ketua kementerian dan jabatan kerajaan, akan menyebabkan Sabah dan Sarawak terpinggir daripada pembangunan negara.

"Kami di Sabah dan Sarawak akan jadi after thought. Mereka rancang pembangunan, kononnya Malaysia, tapi hanya merujuk kepada Persekutuan Tanah Melayu sahaja.

"Maka peminggiran Sabah Sarawak akan berterusan," katanya.

Beliau berkata bahkan dari sudut ukuran tanah, Semenanjung atau Tanah Melayu hanya 40 peratus daripada Malaysia, berbanding Sabah dan Sarawak merangkumi 60 peratus.

"Sabah dan Sarawak ini tanah besar Malaysia," tambahnya.

Beliau berkata, Malaysia mungkin perlu mempertimbangkan untuk mengikut jejak langkah Indonesia dengan memindahkan ibu negara ke Borneo.

Wilfred sebelum ini meminta Sabah dan Sarawak menyokong presiden Warisan, Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri.

Sementara itu, dalam isu berasingan, anggota parlimen itu juga menjelaskan sebab mengapa partinya Upko berpaling tadah daripada BN pada 2018 untuk bergabung dengan Warisan dan Pakatan Harapan.

Wilfred berkata, pada pilihan raya umum Mei 2018, jelas menunjukkan 60 peratus rakyat Sabah ingin pertukaran kerajaan.

Oleh sebab itu, katanya, majlis tertinggi Upko memutuskan untuk menghormati keputusan rakyat dan memberikan sokongan mereka kepada Warisan.

Beliau berkata tidak ada proses tawar menawar dalam keputusan itu.

Beliau menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin, yang kelmarin bertanya di Dewan Rakyat apakah pembelotan Upko juga bermaksud bahawa Sabah ditadbir oleh kerajaan pintu belakang.

Lihat Komen
ADS