Malaysiakini
BERITA

Bersatu 'Blackout' akan tanding PRK Slim

B Nantha Kumar

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Jul 2020, 10:59 pagi

Kumpulan daripada kem Dr Mahathir Mohamad berkata akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim.

Senator Marzuki Yahya berkata kem mereka akan meletakkan calon menentang Perikatan Nasional (PN).

Beliau mendakwa seorang ahli Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memberitahu bahawa gabungan pembangkang itu tidak akan bertanding pada PRK itu nanti.

"Kami Bersatu 'Blackout' akan bertanding di PRK Slim.

"Ini kerana seorang ahli Majlis Presiden PH mesej saya berkata bahawa PH tidak akan bertanding. Mereka tarik diri," katanya kepada Malaysiakini

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Sekretariat PH, Saifuddin Nasution Ismail bagi mengesahkan perkara itu.

Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya dari BN, Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang pada 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Dun Slim diadakan pada 29 Ogos, hari penamaan calon pada 15 Ogos, manakala tarikh mengundi awal pada 25 Ogos.

Takkan guna logo PH

Marzuki menambah, Bersatu 'Blackout' tidak akan menggunakan logo PH pada PRK tersebut.

"Kami tidak akan bertanding menggunakan logo PH. Sama ada kami guna lambang baru atau lambang yang diberikan oleh SPR," katanya.

Bersatu 'Blackout' merupakan kumpulan bekas ahlinya yang menyokong Mahathir Mohamad selepas tidak bersetuju keputusan presiden parti itu, Muhyiddin Yassin membawa Bersatu keluar daripada PH pada penghujung Feb lalu.

Krisis selama seminggu itu menyaksikan presidennya, Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri selepas Mahathir membuat keputusan meletakkan jawatannya.

Pada Mei lalu, Mahathir dan beberapa pemimpin yang menyokongnya termasuk Marzuki yang merupakan setiausaha agung parti Bersatu digugurkan keahlian mereka.

Pada PRU ke-14, lalu Khusairi memenangi kerusi DUN Slim dengan menewaskan calon Bersatu, Mohd Amran Ibrahim dan Muhammad Zulfadli Zainal dari PAS.

Allahyarham memperoleh 8,327 undi dengan majoriti 2,183 undi.

PKR Perak bersiap sedia

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata parti itu dalam keadaan bersiap sedia menghadapi PRK itu nanti.

"Kami dalam keadaan 'ready mode' menghadapi PRK menentang PN. Hanya menunggu pengumuman rasmi dari pucuk pimpinan PKR," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau turut memaklumkan PKR Perak akan mengadakan mesyuarat yang akan diketuai pengerusinya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak malam ini sebelum menghantar laporan PKR negeri kepada pusat.

"PKR Perak akan mesyuarat malam ini untuk memuktamadkan beberapa isu sebelum laporannya dihantar kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan selanjutnya.

"Kajian lapangan yang dilakukan oleh jawatankuasa teknikal sejak Selasa lalu turut akan dibincang dalam mesyuarat hari ini," tambahnya.

Pada 16 Julai lalu, Farhash berkata parti itu akan meletakkan calon mereka dalam PRK itu nanti.

Ketika ditanya adakah PKR telah mengenal pasti calon, Arafat yang juga Adun Hulu Kinta mengesahkannya, namun belum ada keputusan muktamad.

"Ya, kami telah senarai pendek beberapa nama. Tapi belum muktamad. Segala keputusan berhubung calon akan dibuat di peringkat pusat nanti," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Chan Li Kang berkata bahawa keputusan rasmi PH berhubung PRK Slim akan diumumkan pada Isnin depan.

"PH akan umum secara rasmi selepas mesyuarat di parlimen pada Isnin ini," katanya ketika dihubungi. 

Terdapat lebih 23,300 pengundi berdaftar di Dun Slim.    


Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.