Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
LANGSUNG | DUN Sabah diwarta bubar, Musa tunjuk ada sokongan
Diterbitkan:  Jul 30, 2020 9:33 AM
Dikemaskini: 11:38 AM

LANGSUNG | Malaysiakini membawakan kepada anda laporan langsung perkembangan politik di Sabah.


7.00 malam - Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung kami hari ini.

Jika para pembaca sukakan kerja kami, sokong media bebas dan mula langgani versi bahasa Inggeris Malaysiakini serendah RM0.55 sehari. Butiran di sini.


Musa tunjukkan ada sokongan, siar gambar 33 Adun

6.10 petang - Musa Aman telah menyiarkan foto di Facebook sebagai bukti bahawa beliau mempunyai jumlah Adun yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri.

Foto itu menunjukkan Musa dan para Adun Sabah, memegang kertas bercetak nombor 1 hingga 33.

Musa sekali lagi menegaskan Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin mempunyai tugas perlembagaan untuk mempertimbangkan cubaannya untuk membentuk kerajaan negeri.

"Tetapi, sekiranya benar Dewan Undangan Negeri telahpun dibubarkan, saya dengan sucihati mengatakan bahawa kami akan melawan pilihan raya yang akan datang untuk memberi rakyat negeri Sabah satu kerajaan baru yang stabil dan memperjuangkan kepentingan kesemua rakyat negeri ini," katanya.


DUN Sabah bubar secara rasmi - Timb ketua menteri sementara

5.50 petang - Pembubaran DUN Sabah telah diwartakan secara rasmi oleh Tuan Yang di-Pertua Sabah Juhar Mahiruddin.

Timbalan ketua menteri sementara Sabah Wilfred Madius Tangau menyertakan foto surat YDP Sabah yang menggunakan kuasanya sesuai dengan Perkara 21 (2) perlembagaan negeri untuk membubarkan DUN.

Wilfred berkata setiausaha DUN telah diberitahu dan mereka seterusnya telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai perkara itu.


Musa, rombongan dihalang masuk Istana Negeri Sabah

4.45 petang - Bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman bersama rombongannya dihalang daripada memasuki ke Istana Negeri Sabah.

Menurut laporan Harian Metro sepuluh kenderaan mewah yang membawa rombongan itu ditahan polis yang melakukan sekatan berhampiran Bulatan Nanas di Jalan Istana pada jam 3.50 petang tadi.

Beberapa peguam yang dipercayai mewakili Musa dilaporkan cuba berunding dengan pegawai polis yang membuat sekatan, namun mereka tidak dapat melepasi sekatan polis itu.

Musa ketika sidang media di kediamannya di Luyang, awal hari ini, mengumumkan beliau memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan dan mendakwa pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal sebagai tidak wajar.


PKR pecat Adun Inanam Kenny Chua

4.20 petang - PKR memecat Adun Inanam Kenny Chua Teck Ho daripada parti itu berkuatkuasa serta-merta, kata Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Ahmad Kasim.

"Lembaga Disiplin mengambil maklum keadaan politik di Sabah di mana semalam pihak media merakam gambar kehadiran Kenny Chua Teck Ho, Adun Inanam, bersama kumpulan Musa Aman yang berniat menjatuhkan Kerajaan Negeri Sabah.

"Setelah menerima pengesahan dari Majlis Pimpinan Negeri Sabah tentang keberadaan beliau di dalam blok yang berusaha menjatuhkan Kerajaan Negeri Sabah, dan mengambil kira pendirian PKR bahawa pengkhianatan terhadap mandat rakyat tidak boleh dibenarkan berlaku, maka Lembaga Disiplin mengumumkan bahawa Kenny Chua Teck Ho dipecat dari PKR berkuatkuasa serta-merta," katanya.

Seksyen 7 perlembagaan negeri Sabah menyatakan bahawa apabila seorang ketua menteri kehilangan kepercayaan dewan undangan negeri, beliau mesti meletakkan jawatannya sekiranya Yang di-Pertua Sabah tidak bersetuju untuk membubarkan DUN.

Ketua menteri sementara Shafie Apdal yang menjadi pesaing Musa sebelum ini mengumumkan bahawa Yang di-Pertua Sabah Juhar Mahiruddin telah bersetuju untuk membubarkan DUN dan mengembalikan mandat kepada rakyat.


3.25 petang: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengatakan bahawa krisis politik Sabah harus diselesaikan dengan segera dan harus menjadi pengajaran kepada negeri lain.

"Kemelut politik di Sabah harus diselesaikan. Biar pun usaha untuk membentuk kerajaan baru itu telah dinafikan dengan nasihat dari Ketua Menteri Sabah (Shafie Apdal) kepada Yang di-Pertua Negeri.

"Hakikatnya pembubaran ini telah menyerahkan kembali kuasa kepada rakyat untuk menentukan dalam bentuk mandat baru yang diberikan.

"Namun saya mengharapkan apa yang sedang berlaku di Sabah harus menjadi iktibar kepada lain-lain negeri kerana keutamaan kepada rakyat hendak diberi keutamaan," katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.


3.00 petang: Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman menegaskan bahawa beliau layak dilantik menjadi ketua menteri negeri itu yang baru menggantikan Shafie Apdal.

Dalam klip video sidang medianya yang dimuat naik di Facebook, Musa berkata Yang Di-Pertua Negeri mempunyai tanggungjawab untuk mempertimbangkan sama ada dia mempunyai majoriti atau tidak.

"saya layak dilantik TYT (Yang Di-Pertua) untuk jadi ketua menteri Sabah kerana mempunyai sokongan majoriti.

"TYT mempunyai tanggungjawab di bawah Perlembagaan sama ada saya mempunyai majoriti untuk menubuhkan suatu kerajaan baru untuk Sabah," katanya dalam klip video yang dimuat naik di Facebook Sabah See Hua Daily News.

Musa juga menambah bahawa dia tidak terkejut dengan tindakan Shafie mencadangkan pembubaran DUN.

"Malah kami telah pun menjangkakan kejadian seperti ini berlaku," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa Musa mendakwa mempunyai majoriti tipis dengan sokongan 33 Adun.


2.50 petang - Bekas perdana menteri Najib Razak membidas Shafie yang mahu DUN dibubarkan.

Najib turut menyindir Shafie dengan mengatakan bahawa presiden Warisan itu seharusnya menumpukan usaha menjadi perdana menteri PH Plus.

Sejurus selepas PRU14, dia rompak mandat kerajaan BN Sabah. Masa itu dia tak minta bubar DUN.

Bulan lepas, dia kata tak perlu bubar DUN Sabah kerana Covid dan keperluan menanangi krisis ekonomi.

Hari ini, dia minta bubar DUN pulak.

Kononnya mandat rakyat yang mereka pernah rompak telah dirompak.

Kamu tak perlulah bimbang sangat hal Sabah.

Lebih elok kamu fokus pada perjuangan kamu menjadi Perdana Menteri PH Plus.


2.40 petang - SPR tunggu notis rasmi

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang menunggu makluman rasmi daripada Speaker DUN Sabah Syed Abas Syed Ali mengenai pembubaran DUN.

"Speaker DUN Sabah perlu mengeluarkan notis (kepada SPR) terlebih dahulu. Setelah notis itu diterima, SPR akan mengeluarkan kenyataan," kata seorang pegawai SPR, ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal dalam sidang media di Kota Kinabalu awal hari ini telah mengumumkan pembubaran DUN untuk memberi laluan bagi pilihan raya negeri.

Shafie berkata ia telah mendapat perkenan Yang Di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin.


2.20 petang: Kerajaan sementara harus patuh konvensyen mengenai peranan terhad

Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) Roger Chin mengingatkan tentang peranan kerajaan sementara (carateker government).

"Kerajaan sementara di peringkat negeri adalah kerajaan negeri dalam tempoh ketika DUN dibubarkan oleh Yang Di-Pertua Negeri Sabah sebelum pilihan raya negeri, dan berlanjutan untuk jangka waktu setelah pilihan raya, hingga kabinet baru di Sabah dilantik.

"Kerajaan sementara diharapkan mematuhi konvensyen yang yang ditadbir oleh Sekretariat Negara, walaupun tidak ada undang-undang yang memaksa kerajaan sementara untuk melakukannya," kata Chin yang mengetuai badan berkanun yang mewakili peguam di Sabah itu.

Di bawah konvensyen-konvensyen ini, kerajaan negeri tidak boleh mengambil keputusan utama kecuali mengenai hal-hal mendesak dan hanya setelah berunding secara formal dengan pembangkang.

Ia juga tidak boleh membuat pelantikan awam utama, menandatangani kontrak atau menangani rundingan antarabangsa utama.


2.15 petang - Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan berpandangan pilihan raya hanyalah sebagai "upacara" selagi amalan lompat parti tidak salah di sisi undang-undang.

"Masalah di Sabah sebenarnya bukan pilihan raya baru tetapi lompat parti. Berbanding negeri lain di Malaysia, Sabah memiliki demokrasi yang paling segar jika anda mengambil kira parti yang telah mentadbir negeri itu - USNO, Berjaya, PBS, BN dan Warisan.

"Tetapi siapa bileh lupa bagaimana pada 1994, PBS yang menang tipis dalam pilihan raya negeri dengan 25 kerusi, berbanding BN 23 kerusi, hilang kuasa dua minggu kemudian kerana amalan limpat parti.

Dia juga mengimbas kembali pada 2018, sebaik saja tamat PRU14, Musa dan Shafie menggelarkan "kerajaan pintu belakang" antara satu sama lain.

"Kebenarannya ialah, politik wang akhirnya menentukan siapa yang mentadbir Sabah, bukannya mandat rakyat," katanya lagi.


1.40 tengah hari - DAP memecat keanggotaan Ronnie Loh Ee Eng, ahli yang dicalonkan dalam DUN Sabah, kerana mengisytiharkan sokongan kepada Musa Aman.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Chong Chieng Jen.

"Loh dipecat atas dasar berpaling tadah daripada DAP untuk menyokong gabungan Perikatan Nasional di Sabah dengan tujuan menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Shafie Apdal.

"Pemecatan berkuat kuasa serta merta. Dengan itu dia juga dipecat daripada semua jawatan dalam parti," katanya dalam kenyataan.


1.25 tengah hari - Hanya rakyat yang akan mampu menewaskan "rampasan kuasa jahat" terhadap kerajaan Sabah, kata Majlis Presiden PH.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Dalam kenyataan itu, PH menyuarakan sokongan penuh terhadap Shafie dalam menentang apa yang disifatkan sebagai cubaan jahat, tidak demokratik dan tidak bermoral untuk menjatuhkan kerajaan negeri.

"PH menyokong penuh bagi menewaskan cubaan lompat parti yang sangat cela ini – yang telah dicetuskan oleh anasir Perikatan Nasional – dengan segera membubarkan DUN Sabah dan mengembalikan mandat kepada rakyat.

"Hanya rakyat yang akan mampu menewaskan rampasan kuasa jahat yang telah dilancarkan bekas ketua menteri Musa Aman, dengan sokongan penuh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin," katanya.


12.30 tengah hari - Sejumlah wartawan kini berkumpul di rumah Musa Aman di Seri Anggerik bagi menunggu sidang media yang akan diadakan bekas ketua menteri Sabah itu.

Dilaporkan kawalan keselamatan telah diperketatkan dan wartawan yang tidak memiliki kebenaran yang sah dilarang masuk.

Terdahulu pagi ini, Musa dilaporkan cuba mengadap Yang Di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin untuk mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.

Bagaimanapun dalam sidang media Shafie Apdal tidak lama kemudian, dia mengumumkan Juhar sudah berkenan untuk membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.


12.05 tengah hari - Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal berkata Yang Di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin sudah memberi perkenan untuk pembubaran dewan undangan negeri Sabah.

Shafie memaklumkan perkara itu dalam sidang medianya sebentar tadi.

"Pagi tadi saya bertemu Yang Di-Pertua Negeri dan telah diperakukah untuk bubar dewan," katanya.

Shafie juga berkata beliau masih perupakan penjaga (caretaker) pentadbiran negeri itu.

"Apa pun cerita, mereka mahu pergi istana, ada nombor sana sini, dewan sudah dibubarkan.

"Dalam jangka masa 60 hari, i'm still caretaker, saya masih ketua menteri mentadbir negeri Sabah sehingga sampai waktu SPR umum tarikh, baru kita pilih," katanya.


11.00 pagi  - Musa Aman buat sidang media pada 12 tengah hari

Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman dijadual adakan sidang akhbar di kediamannya di Kota Kinabalu pada 12 tengah hari nanti.


10.53 pagi: Tiada petanda majlis angkat sumpah setakat ini

Setakat pukul 10.30 tadi, tiada petanda ada majlis angkat sumpah ketua menteri baru.

Ini meskipun bekas ketua menteri Sabah Musa Aman mendakwa mempunyai majoriti tipis dan berharap dapat mengangkat sumpah sebagai ketua menteri hari ini.

The Star melaporkan dari Kota Kinabalu bahawa tidak ada petunjuk dari Istana Sabah mengenai upacara mengangkat sumpah itu setakat ini.

Sementara itu, Ketua Menteri Shafie Apdal sedang mengadakan pertemuan tertutup dengan perwakilan Warisan dan anggota sekutunya yang lain.

Difahamkan, pembubaran DUN Sabah yang baru berusia 26 bulan itu adalah salah satu cadangan yang sedang mereka pertimbangkan.


10.40 pagi - Shafie mula mesyuarat dengan Adun Warisan

Ketua menteri Sabah Shafie Apdal memasuki sebuah dewan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di mana wartawan dan juga wakil rakyat yang menyokong kepimpinannya telah menunggunya.

Anggota media kemudian diminta untuk keluar dari dewan kerana Shafie ingin mengadakan pertemuan tertutup dengan Adun terlebih dahulu.

Seorang pembantu mengatakan Shafie akan mengadakan sidang akhbarnya selepas pertemuan itu, dijangka pada pukul 11 pagi.

Dia dijangka mengulas pengumuman oleh bekas ketua menteri Musa Aman yang mendakwa memperoleh majoriti tipis untuk mengambil alih kerajaan negeri.


10.05 pagi: Ketua Bersatu Sabah yang juga Adun Sulaman, Hajiji Mohd Noor mengesahkan bahawa pembangkang akan bertemu dengan Yang Di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin.

"Ada isyarat (dari istana untuk hadir ke istana negeri), tetapi masa belum ditetapkan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Ditanya sama ada Musa akan mengangkat sumpah sebagai ketua menteri, dia berkata: "Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar."

Hajiji juga mengatakan bahawa pembangkang mendapat sokongan sekurang-kurangnya 34 daripada 65 Adun untuk mengambil alih kerajaan negeri pimpinan Warisan.


10 pagi - Sidang media Shafie ditunda

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal bertemu dengan anggota dewan undangan negeri Warisan pagi ini.

Menurut pembantu presiden Warisan itu, pertemuan itu akan berlangsung sebelum Shafie berucap pada sidang media yang pada awalnya dijadualkan pada pukul 10 pagi di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah.

"Sidang media akan diadakan selepas pertemuan itu, antara jam 10 dan 11 pagi," kata pembantu itu.


9.40 pagi - Musa Aman dijangka tiba di istana 10 pagi

Bernama melaporkan dari jalan masuk ke istana negeri di Sabah, di mana Musa dijangka akan ke Istana jam 10 pagi ini untuk mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah dan membentuk kerajaan baru di negeri itu.


9.20 pagi - Shafie menghadap YDP 

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal menghadap Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin sekali lagi pagi ini, yang merupakan kali kedua dalam tempoh 24 jam.

Sinar Harian melaporkan bahawa rombongan Shafie dilihat memasuki Istana Sabah di Kota Kinabalu sekitar jam 8.25 pagi.

Perkembangan ini hadir kira-kira satu setengah jam sebelum sidang media dijadualkan diadakan oleh Shafie berhubung situasi politik Sabah.

Bernama melaporkan kenderaan Shafie dilihat meninggalkan kawasan istana pada pukul 9 pagi.

Dalam pertemuan semalam, Shafie dipercayai membincangkan kemungkinan pilihan raya negeri.

Ia selepas bekas ketua menteri Musa Aman mendakwa bahawa beliau memperoleh majoriti tipis dari perwakilan negeri untuk mengambil kerajaan negeri.

Musa, yang merupakan wakil rakyat DUN Sungai Sibuga, mendakwa bahawa dia telah memperoleh pernyataan berkanun (SD) dari anggota dewan undangan negeri yang menyokongnya.

Bagaimanapun, pemimpin Umno itu tidak menyatakan jumlahnya.

Musa juga mendakwa bahawa dia telah diperintahkan oleh Yang Di-Pertua Negeri untuk menyerahkan SD berkenaan.

Dalam keputusan kontroversial bulan lalu, Peguam Negara Idrus Harun menggugurkan 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Musa.


Lihat Komen
ADS