Skandal MAS: Pemuda PAS bidas Najib, Shahrir
Dewan Pemuda PAS membidas Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Shahrir Samad kerana mengambil sikap lepas tangan dalam skandal pembelian saham MAS oleh ahli perniagaan, Tan Sri Tajuddin Ramli.
Dewan Pemuda PAS membidas Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Shahrir Samad kerana mengambil sikap lepas tangan dalam skandal pembelian saham MAS oleh ahli perniagaan, Tan Sri Tajuddin Ramli.
Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata, kenyataan Timbalan Perdana Menteri bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai pembelian semula saham MAS oleh kerajaan daripada Tajuddin pada harga RM8 seunit walaupun harga sebenar pada ketika itu adalah RM4 adalah tidak masuk akal.
"Ini adalah satu kenyataan bebal kerana Najib merupakan seorang menteri kanan dan Naib-Presiden Umno," katanya ketika ditemui di Bangunan Parlimen hari ini.
Salahuddin juga menyifatkan kenyataan Shahrir yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pemerika Kira-kira (PAC) bahawa kes itu patut diserahkan kepada mahkamah untuk menentukannya sebagai tidak bertanggungjawab.
"Bukankah kerajaan Malaysia mengamalkan konsep tanggungjawab bersama? Jika Najib dan Shahrir tidak mampu memberi reaksi yang positif, proaktif dan bertanggungjawab, lebih baik mereka meletakkan jawatan," katanya ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi.
Beliau berkata, usaha membetulkan sistem pentadbiran yang bobrok tidak boleh diserahkan kepada mahkamah semata-mata melainkan jika kes ini dibuka sebagai senjata mengugut bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya menutup mulut.
Baru-baru ini Tajuddin mengemukakan saman berjumlah RM13 bilion ke atas Kerajaan Malaysia berkaitan pembelian saham MAS pada tahun 1994.
Tajuddin mendakwa, beliau telah diarah oleh Menteri Kewangan ketika itu, Tun Daim Zainuddin dan Dr. Mahathir supaya membeli 32 peratus saham dalam MAS pada harga RM8 yang mengakibatkan beliau terpaksa membuat pinjaman peribadi sebanyak RM1.8 bilion.
Dewan Pemuda PAS turut menyarankan ditubuhkan sebuah suruhanjaya bebas yang turut dianggotai oleh pembangkang untuk menyiasat kes saman Tajudin dan kes lain yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara.
Salahuddin berkata, antara kes yang patut disiasat oleh suruhanjaya bebas itu ialah penyelewengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, pampasan projek Jambatan Indah, pembelian kapal peronda laut serta wang royalti Petronas untuk Terangganu.
Beliau juga mahu penswastaan pembekal tenaga bebas (IPP), operasi menyelamat Bank Bumiputra, harta keluarga pemimpin Barisan Nasional dan penglibatan mereka dalam perniagaan turut disiasat.
Beliau berkata, walaupun kes ini berlaku ketika pemerintahan Dr Mahathir, Pemuda PAS percaya kesinambungan beberpa program yang mirip penyalahgunaan kuasa, kronisme dan rasuah masih wujud.
"Kami menyarankan suruhanjaya ini menjalankan audit yang menyeluruh kepada setiap projek yang dipercayai menyeleweng atau lari dari matlamat asal." katanya.

