Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pelarian Rohingya tak ada hak, tapi kanak-kanak boleh dapat pendidikan alternatif'
Diterbitkan:  Aug 4, 2020 11:20 AM
Dikemaskini: 3:20 AM

Meskipun kerajaan berpendirian bahawa pelarian Rohingya "tidak berhak menuntut apa-apa hak" di Malaysia, kanak-kanak etnik itu masih diberikan akses pendidikan.

Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin berkata, menerusi pusat bimbingan alternatif (PBA), kanak-kanak pelarian boleh mendapat akses pendidikan menggunakan kurikulum negara asal atau negara ketiga.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan oleh Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) semalam, yang bertanyakan mengenai langkah-langkah kerajaan bagi memastikan kanak-kanak pemohon suaka dan pelarian termasuk dari Rohingya, mendapat akses kepada sistem pendidikan yang berkualiti dan konsisten.

“Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23 menyatakan bahawa pemegang kad UNHCR adalah berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI), tidak berhak menuntut apa-apa hak di sisi undang-undang termasuk pendidikan.

“Namun, bagi membolehkan akses pendidikan kepada kanak-kanak Rohingya, pada tahun 2016 kerajaan telah memutuskan agar kanak- kanak tersebut diberikan pendidikan di PBA.

“Bagi tujuan tersebut, KPM telah menyediakan garis panduan penubuhan dan pendaftaran PBA,” jawabnya.

Akses pendidikan itu diberi kepada kanak-kanak bukan warganegara Malaysia berumur empat hingga 15 tahun yang tidak berpeluang mendapat akses kepada pendidikan formal, sama ada di institusi kerajaan atau swasta.

[Berita berkaitan: ‘Assalamualaikum ayah, bila Shara boleh sekolah?']

Berdasarkan jawapan bertulis kepada bekas ahli parlimen Simpang Renggam, Ling Tech Meng pada 2017, menteri pada masa itu, Mahdzir Khalid menjelaskan sistem PBA ditubuhkan pada Mac 2015.

Pusat itu boleh ditubuhkan sama ada oleh pihak kerajaan, syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta badan bukan kerajaan atau pertubuhan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS), atau Kementerian Dalam Negeri.

Akses sekolah biasa

Isu hak pelarian Rohingya, yang dikatakan lari dari penindasan di Myanmar - negara asal yang tidak mengiktiraf minoriti beragama Islam itu sebagai warganegara - merupakan isu panjang yang belum berkesudahan.

Lebih-lebih lagi kini, apabila kerajaan bergelut bagi mencari jalan terbaik bagi menangani isu pendatang asing tanpa dokumen.

Malaysia tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967 berkenaan Status Pelarian.

Oleh hal yang demikian, Malaysia tidak mengiktiraf status pelarian dan di bawah Akta Imigresen 1959/63, semua pelarian dianggap sebagai pendatang tanpa dokumen, yang berdepan risiko ditangkap dan diusir pihak berkuasa.

Semasa sesi Dewan Rakyat baru-baru ini, pembangkang dari Pakatan Harapan (PH) membangkitkan isu kanak-kanak tanpa negara, pelarian dan pendatang tanpa dokumen, terutamanya berkenaan kesan jangka panjang sekiranya mereka dinafikan hak pendidikan dan kesihatan.

Pada Januari, pengarah eksekutif Tenaganita Glorene A Das menyatakan pandangan bahawa kanak-kanak pelarian wajar diberikan akses kepada pendidikan sekolah kebangsaan.

Katanya, ini akan dapat membantu komuniti itu menyatupadu dengan masyarakat, dan membolehkan komuniti Rohingya turut menyumbang kepada ekonomi Malaysia.

“Sebagai saranana kepada kerajaan, Tenaganita menggesa integrasi (penyatupaduan) kanak-kanak pelarian di negara ini ke sekolah-sekolah tempatan, dan (mendapat) akses untuk silibus Malaysia, berbanding mengekang mereka kepada akses hanya kepada kurikulum negara asal mereka.

“Dengan berbuat demikian, kita terpaksa melaksanakan sistem yang jauh lebih rumit bagi menguruskan pendidikan mereka, dengan pelbagai populasi pelarian di sini, tetapi ia juga menggalakkan perpecahan dalam masyarakat,” katanya.

Menteri Sumber Manusia sebelum ini M Kulasegaran juga menyatakan pelarian wajar diberikan hak bekerja di negara ini dan kanak-kanak mereka dihantar ke sekolah biasa.

Meskipun ia sebelum ini merupakan sebahagian daripada manifesto PH, hak pemegang kad UNHCR untuk bekerja masih belum dilaksanakan sepenuhnya.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menegaskan bahawa pelarian diberikan bantuan atas dasar kemanusiaan, tetapi mereka mesti dihantar pulang ke negara asal atau negara ketiga.

Ini selepas PN berdepan kritikan kerana mengumpulkan pendatang tanpa dokumen semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) gara-gara penularan wabak Covid-19, serta pernah menolak menerima kemasukan bot pelarian Rohignya daripada memasuki perairan negara.

Bagaimanapun, Menteri Pertahanan merangkap Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob bertegas bahawa kerajaan mengambil pendirian tegas untuk menyekat kemasukan pelarian Rohingya ke negara ini.

Kerajaan mahu menghantar pelarian tersebut pulang ke negara asal mereka, atau menghantar mereka ke negara-negara ketiga yang sudi menerima mereka.


Lihat Komen
ADS