Malaysiakini
BERITA

'Najib dah didapati bersalah, cari generasi baru pimpin Umno' - KJ

Diterbitkan
Dikemaskini 6 Ogs 2020, 12:56 pagi

Ahli Parlimen Rembah Khairy Jamaluddin mengulang kenyataannya sebelum ini bahawa mesejnya tidak boleh dinafikan yang Umno perlu bergerak ke hadapan.

Menteri sains, teknologi dan inovasi itu dipetik Astro Awani berkata masih ada yang mahu bekas perdana menteri Najib Razak kembali menerajui parti sebagai presiden Umno, walaupun beliau sudah didapati bersalah di mahkamah

“Saya cakap benda yang menjadi rahsia terbuka sekarang ini. Masih ada yang berharap Datuk Seri Najib kembali sebagai presiden Umno.

"Ini yang saya maksudkan. Mereka tak nak cakap benda ini, tapi saya terpaksa cakap. Bagi saya, kita perlu bergerak ke hadapan. Cari generasi baru untuk memimpin Umno," katanya.

Khairy berkata kenyataannya sebelum ini mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd.

Jelasnya hari ini, beliau tidak berniat untuk "biadap terhadap Datuk Seri Najib" dengan kenyataannya itu bahawa "Umno perlu bergerak ke hadapan."

"(Kita perlukan) yang boleh mengambil alih, yang boleh diberikan masa sekarang untuk membuat perancangan, untuk lima hingga 10 tahun akan datang. Itu maksud saya.

“Tengku Razaleigh cakap benda yang sama. Tetapi mungkin kerana Tengku Razaleigh adalah negarawan yang senior, tiada siapa yang berani untuk tegur, atau perli beliau.

“Bukan hendak samakan saya dengan Tengku Razaleigh. Tetapi oleh kerana saya ialah KJ, nakal... semua saya kena kecam, dan saya kena kritik terutamanya orang orang kuat Datuk Seri Najib, dan mereka telah tembak messenger (kill the messenger),” katanya lagi mengulas kritikan yang diterimanya sebelum ini.

Antara yang tampil membidas Khairy susulan kenyataan tersebut ialah Anggota Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkarshi dan veteran parti Shahrir Abdul Samad.

Khairy yang juga bekas ketua pemuda Umno berkata parti itu masih kukuh di bawah kepimpinan Presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

“Sekarang ini presiden masih lagi ada, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Tak ada masalah sebab kes beliau masih dalam perbicaraan… tidak ada keputusan apa-apa lagi dari mahkamah.

"Tetapi kita mesti melihat selepas itu siapa? Apakah barisan kepimpinan baru? Yang sebenarnya yang dikehendaki rakyat juga,” katanya.

Ahmad Zahid, 67, sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi dan lapan pertuduhan rasuah.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.