Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M teliti pendirian PH pertimbang terima parti baru

Bekas pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad berkata akan meneliti pendirian PH untuk menerima penyertaan parti baru yang ditubuhkannya ke dalam gabungan itu.

Bagaimanapun, bekas perdana menteri berkata beliau masih belum mengkaji kenyataan yang dibuat Pengerusi PH Anwar Ibrahim yang sedia mempertimbang kemasukan parti barunya ke dalam pakatan pembangkang itu.

“Saya tak tahu apa dia (Anwar Ibrahim) kata. Saya akan kaji tengok,” katanya ringkas kepada pemberita selepas hadir ke program solidariti untuk Kashmir di Kuala Lumpur, hari ini.

Anwar di Shah Alam malam tadi berkata PH bersedia mempertimbangkan kemasukan parti baru yang akan ditubuhkan Mahathir ke dalam gabungan itu sekiranya ada permintaan.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baru yang "akan berasas kepada pejuangan untuk orang Melayu dan peribumi" sebagaimana Bersatu yang diasaskannya sebelum ini tetapi tidak terikat menyokong PN atau PH.

Menjelaskan asas perjuangan parti politik baru yang belum dinamakan itu, Dr Mahathir berkata matlamatnya masih bertujuan "menghapus rasuah dan kleptokrasi."

Kritik India isu Kashmir, tempias ke sawit M'sia

Dalam perkembangan lain, Mahathir yang juga anggota parlimen Langkawi ketika berucap pada hari ini berkata beliau kini mahu menggunakan masanya untuk berjuang mempertahankan Kashmir selepas tidak lagi berada dalam kerajaan.

Katanya, ini kerana ketika menjadi perdana menteri beliau tersekat untuk melakukan perkara itu ekoran mendapat ancaman tertentu oleh seperti India yang akhirnya mengancam Malaysia dengan memboikot minyak sawit.

"Sekarang saya tidak lagi menjadi perdana menteri, saya berpendapat bahawa saya sekarang boleh bercakap tanpa sekatan dalam menangani isu Kashmir tanpa ancaman, boikot dan sebagainya.

"Mereka yang membuat ancaman ini merasakan bahawa sebagai perdana menteri Malaysia ketika itu, saya seharusnya lebih diplomatik dalam ucapan saya dan mereka telah menyalahertikan kata-kata saya," katanya.

Menurut Mahathir, beliau memilih untuk bersuara mengenai perkara itu walaupun menyedari kemungkinan akan ada reaksi balas daripada pihak tertentu.

“Berdiam diri bukanlah pilihan yang baik dalam isu berkenaan sebaliknya mempertahankan Kashmir sebagai sebuah negara kecil adalah lebih penting,” katanya.

Tambah Mahathir, ucapannya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB pada September tahun lalu telah mempengaruhi eksport sawit negara ke India.

Kerajaan India dilaporkan kecewa dengan ucapan Mahathir itu yang berkata India telah ‘menceroboh dan menduduki’ Jammu dan Kashmir dan meminta New Delhi berbincang dengan Pakistan untuk menyelesaikan isu itu.

"Saya tidak meminta maaf atas apa yang saya katakan. Ia telah mempengaruhi eksport minyak sawit kita ke India.

"Saya tidak tahu apakah itu harga yang tinggi untuk membayar bagi menentang ketidakadilan tersebut," ujarnya

Lihat Komen
ADS