Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Hadi Awang lupa kerajaan PN majoriti Melayu’
Diterbitkan:  Aug 13, 2020 12:25 PM
Dikemaskini: 5:09 AM

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mungkin terlupa bahawa dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini majoriti anggota parlimennya adalah Melayu-Islam ketika mengeluarkan kenyataan penting supaya kaum yang menguasai masyarakat memimpin kerajaan, kata Ketua Biro Wanita AMK Terengganu, Leny Azmi.

Malah, menurutnya, apa yang dinyatakan oleh anggota parlimen Marang itu seolah-olah dirinya tidak cukup yakin dengan gabungan PN hari ini.

"Mungkin beliau sendiri lupa dalam kerajaan PN hari ini majoritinya adalah anggota parlimen Melayu-Islam.

"Representasi ahli politik Melayu masih lebih daripada 60 peratus di parlimen malah orang Melayu masih majoriti dalam kuasa politik tanah air walaupun kerajaan bertukar tangan dari Pakatan Harapan (PH) kepada PN.

“Persoalannya apa yang masih tidak cukup? soal Leny dalam satu kenyataan.

Leny berkata demikian ketika mengulas kenyataan Abdul Hadi dalam wawancara dengan Reuters, semalam.

Abdul Hadi dalam wawancara itu dilaporkan berkata dia menjangkakan pilihan raya mengejut akan diadakan antara akhir tahun ini dan awal tahun depan.

Presiden PAS yang bersetuju supaya pilihan raya mengejut diadakan itu, berkata ia perlu untuk menambahkan bilangan wakil rakyat Melayu-Islam di Dewan Rakyat dan mengesahkan mandat PN untuk terus berkuasa.

Dia berkata, untuk memastikan kestabilan politik, penting supaya kaum yang menguasai masyarakat memimpin kerajaan.

Mengulas lanjut, Leny mempersoalkan mengapa Abdul Hadi berkeras terus menggunakan faktor agama dan kaum untuk menentukan tadbir urus negara.

"Saya berpendapat Hadi Awang takut dengan bayang-bayangnya sendiri.

“Beliau mengharapkan gabungan PAS-Umno-Bersatu meraih lebih 2/3 majoriti di parlimen dan cuba menggunakan isu perkauman untuk meraih undi rakyat," katanya.

Kata Leny, kenyataan Abdul Hadi yang mendesak supaya negara Islam ditubuhkan di Malaysia mengiyakan hakikat bahawa negara hari ini sebenarnya adalah negara sekular dan tidak pernah menjadi negara Islam.

"Sempena bulan kemerdekaan ini juga saya menyeru rakyat Malaysia untuk tidak lagi memandang isu perkauman dalam landskap politik masa kini.

"Seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab seharusnya fokus mencari solusi dalam menyelesaikan masalah rakyat bukannya sibuk mengapikan perpaduan rakyat Malaysia yang sudah terbina sekian lama.

"Politik perkauman sempit ini harus dihentikan kerana Malaysia bukan milik satu kaum sahaja malah ketuanan Melayu tidak akan terusik selagi Perlembagaan Malaysia tidak dipinda oleh mana-mana pihak.

"Saya juga menyelar mana-mana pemimpin yang sengaja menggunakan isu perkauman yang boleh memecah-belahkan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini. Pada akhirnya Malaysia ini milik kita semua," kata Leny.

Lihat Komen
ADS