Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siapa Gnanaraja dalam projek terowong dasar laut P Pinang?
Diterbitkan:  Aug 15, 2020 10:09 AM
Dikemaskini: Aug 17, 2020 3:55 AM

Nama ahli perniagaan “Datuk Seri” G Gnanaraja sebelum ini pernah terpalit dengan dakwaan rasuah membabitkan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Projek berkenaan yang bernilai RM6.3 bilion turut menyaksikan bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dihadapkan ke mahkamah baru-baru ini atas tuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk meminta dan menerima suapan, masing-masing sebanyak 10 peratus dari nilai keuntungan projek dan RM3.3 juta.

Bagaimanapun Guan Eng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan-pertuduhan berkenaan dan minta dibicarakan.

Pada 27 Feb 2018, Gnanaraja ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah RM19 juta bagi mempengaruhi penutupan siasatan projek berkenaan.

Dia yang ketika itu berumur 37 tahun disiasat kerana dipercayai menerima wang berkenaan dari sebuah syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, selepas mendakwa dia mampu “menyelesaikan” siasatan yang dijalankan oleh SPRM.

Pengarah Urusan syarikat tersebut merupakan Zarul Ahmad Mohd Zulkifli iaitu kontraktor utama yang dilantik bagi projek tersebut.

Pada 3 April 2019, Gnanaraja dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Dia dituduh memperdaya Zarul sebanyak tiga kali pada 2017 untuk mempercayai bahawa dia mempunyai hubungan politik yang mampu membantu untuk menutup siasatan SPRM terhadap Zarul.

Dalam tuduhan pertama, Gnanaraja didakwa memperdayakan Zarul supaya menyerahkan RM2 juta kepadanya di Hotel Eastin, Selangor sekitar Julai 2017.

Untuk tuduhan kedua, dia dituduh memperdayakan Zarul agar menyerahkan RM15 juta secara rentas akaun di bank CIMB cawangan KLCC pada bulan yang sama.

Bagi tuduhan ketiga, Gnanaraja dituduh melakukan kesalahan sama dengan memperdayakan Zarul supaya menyerahkan tambahan RM2 juta kepadanya di Hotel Eastin, Selangor, sekitar Ogos 2017.

Bagaimanapun Gnanaraja mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan.

Dituduh lagi 68 pertuduhan

Pada 8 April 2019, Gnanaraj didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 68 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM11.4 juta.

Dana tersebut didakwa dipindahkan dari akaun Bumi Muhibah Capital Holding Sdn Bhd (Bumi Muhibah) ke pelbagai akaun lain termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan syarikat serta individu lain.

Tertuduh yang dikatakan pengarah serta pemilik syarikat Bumi Muhibah didakwa memindahkan RM2.2 juta wang haram kepada KDN pada 19 Sept 2017.

Dia juga didakwa memindahkan wang haram sebanyak RM108,580.80 melalui cek kepada akaun Zenith Consulting Services pada 25 Okt 2017 dan RM15,614.70 ke akaun LHDN pada 15 Jan 2018.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga ke-68, ia melibatkan dua organisasi iaitu LHDN dan KDN, 26 buah syarikat termasuk Zenith Consulting Services Sdn Bhd dan 10 individu.

10 individu itu ialah Tan Su Cheng, You Hui Koon, Koh Yee Phok, Lim Voi Heng, Lee Sue Wee, Teh Eng Soon, S. Jeewanathan, K.Thiagu, K. Boohalan dan Kee Bee Sim.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan KLCC, Jalan Ampang antara 28 Julai 2017 dan 18 Jan 2018.

Dia bagaimanapun sekali lagi mengaku tidak bersalah atas semua petuduhan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rozina Ayob.

Gelaran ‘Datuk Seri’ ditarik balik

Gnanaraja, 39, yang turut dikenali sebagai “Dato Sri G” atau “DSG” memperolehi gelaran “Datuk Seri” daripada Istana Pahang pada Mac 2014.

Bagaimanapun, pada 3 April 2019 dilaporkan bahawa Istana Pahang telah menarik balik kurniaan darjah kebesaran tersebut, yang berkuat kuasa pada 13 Mac 2019.

Berita tersebut muncul selepas dia dituduh menipu RM19 juta untuk menutup siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Gambar bersama Guan Eng

Pada Mac 2018, gambar Gnanaraja bersama Lim tersebar dan secara tidak langsung menimbulkan kecurigaan mengenai hubungan mereka.

Lim menafikan dirinya mengenali Gnanaraja secara dekat.

Sebaliknya, Pejabat Ketua Menteri dalam kenyataannya, menyatakan bahawa sebagai seorang pemimpin yang dikenali ramai, Lim berhak bergambar kenangan bersama sesiapa yang dikehendakinya.

Kenyataan itu juga berkata, sebagai seorang yang dikenali, Lim pernah bergambar dengan ramai personaliti dan beliau tidak mampu mengingati berapa banyak atau di mana gambar itu dirakamkan.

Isteri dan dunia lakonan

Selain memegang jawatan presiden di persatuan usahawan agro, Agro Malaysia, Gnanaraja turut membintangi trailer filem di Youtube, ‘G The Movie Official Teaser’ pada 2017.

Trailer tersebut menampilkan dirinya bersama seorang pelakon wanita dengan babak yang penuh aksi dan romantik ala “James Bond.”

Bagaimanapun, berdasarkan carian Malaysiakini, filem penuh tersebut tidak dijumpai.

Selain itu, dia juga aktif mengemaskini aktiviti hariannya di media sosial dan mempunyai 621,000 pengikut di Instagram.

Untuk rekod, dia berkahwin dengan isterinya, Geethanjali G yang juga personaliti media sosial yang terkenal di kalangan komuniti berbahasa Tamil pada Feb 2012 dan mempunyai anak kembar lelaki.

Pada 2016, pelantikan Geethanjali sebagai sebagai penasihat khas media menteri pendidikan ketika itu Mahdzir Khalid dilaporkan ditarik balik dalam masa kurang 24 jam.

Bagaimanapun, sebab penarikan balik pelantikan tersebut tidak dinyatakan oleh pihak kementerian.

Geethanjali merupakan bekas finalis Miss Malaysia Universe 2009 dan pernah menjadi penghebah radio. 

Pada Jun 2013, dia dinobatkan dalam senarai 10 wanita yang paling berkuasa di Malaysia pada tahun tersebut, yang diterbitkan oleh akhbar The Star. 

Turut berada dalam senarai tersebut ialah Rosmah Mansor, Zeti Akhtar Aziz, Michelle Yeoh, Nurul Izzah Anwar dan Marina Mahathir.

Dia berdepan dengan spekulasi bahawa dirinya atau syarikatnya G Global Media - sebuah syarikat promosi dan produksi - telah membuat senarai tersebut dan membayar iklan di halaman akhbar tersebut untuk publisiti dirinya sendiri.

Geethanjali telah menafikan dakwaan itu.

Didakwa terlibat penipuan skim pelaburan

Pada Nov 2016, bekas setiausaha agung MIC, S. Vell Paari mendakwa Gnanaraja dan isterinya, Geethanjali sebagai dalang skandal penipuan pelaburan yang melibatkan kerugian berjuta ringgit kepada mangsa-mangsa skim pelaburan tersebut selepas memasukkan wang akaun Yayasan Usaha Ventures Malaysia.

Menurut Vell Paari, mereka menggunakan yayasan tersebut yang bertindak sebagai syarikat induk dalam mendapatkan wang daripada pelabur di bawah syarikat Venus FX.

Difahamkan pasangan suami isteri itu menggunakan nama Najib Razak yang merupakan perdana menteri ketika itu dan isterinya Rosmah Mansor dalam kegiatan mereka.

Bagaimanapun, kedua-duanya menafikan dakwaan tersebut dalam satu kenyataan bersama. 

Nantikan perkembangan lanjut yang menyorot ke dalam dunia ‘Dato Seri G’ yang menarik perhatian ini. 

ADS