Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PANDUANKINI | Pilihan raya kecil (PRK) Slim dijangka menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz dari Umno berdepan calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang disokong oleh parti Dr Mahathir Mohamad dari Pejuang Tanah Air.

Pencalonan hari ini turut menyaksikan satu lagi calon bebas dalam PRK tersebut, menjadikannya pertarungan tiga penjuru.

Terdapat dua calon bebas lain yang berhasrat bertanding tetapi  tidak dapat menyerahkan kertas pencalonan tepat pada waktunya.

Berikut merupakan latar belakang ringkas tiga calon PRK Slim.

1. Mohd Zaidi Aziz (Umno-BN)

Mohd Zaidi, 43, merupakan individu yang tidak asing bagi penduduk Slim. Dia kini merupakan pemangku ketua bahagian Umno Tanjung Malim.

Dia adalah ketua pemuda Umno Bahagian Slim Village dari tahun 2000 hingga 2018, dan merupakan ahli jawatankuasa pemuda Umno bahagian Slim.

Pada tahun 2013, dia juga dilantik sebagai ketua penerangan Umno Tanjung Malim sebelum menjadi timbalan ketua bahagian pada tahun 2018.

Mohd Zaidi memiliki Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu & Sains Kemanusiaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Bapa kepada empat orang anak itu juga pernah memegang pelbagai jawatan dalam sekurang-kurangnya 12 persatuan termasuklah timbalan presiden Majlis Belia Malaysia dan setiausaha agung Jawatankuasa Kerjasama Belia Asean.

Sekiranya dia terpilih, Mohd Zaidi berjanji untuk memperjuangkan kepentingan rakyat dan menyelesaikan masalah dihadapi rakyat dengan sebaik mungkin.

2. Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (Bebas)

Amir Khusyairi akan bertanding sebagai calon bebas tetapi bekas perdana menteri Mahathir, yang baru-baru ini melancarkan parti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata Amir mewakili parti politik yang akan ditubuhkannya,

Bagaimanapun, memandangkan Pejuang masih belum berdaftar secara rasmi dengan ROS maka Amir akan bertanding sebagai calon bebas.

Pemimpin dari parti Pakatan Harapan PKR, DAP dan Amanah juga hadir pada pelancaran pencalonan Amir dan telah menjelaskan bahawa mereka menyokong Amir.

Kini berusia 38 tahun, Amir adalah peguam syariah yang memiliki ijazah undang-undang syariah dari Universiti Teknologi Mara.

Amir yang merupakan anak tempatan Perak, fasih dalam tiga bahasa termasuk bahasa Arab.

Ibu bapanya, Jariah Mohd Yunus dan arwah Mohamad Tanusi Maulut merupakan guru agama sebelum ini.

Isteri Amir, Dr Nur Aainaa Othman adalah pakar radiologi di hospital Teluk Intan.

Susulan daripada pencalonannya, Amir memberitahu media bahawa dia berharap PRK Slim akan menjadi langkah awal untuk memperbaiki apa yang silap.

Amir bertanding menggunakan logo 'pokok'.

3. Santharasekaran Subramaniam (Bebas)

Menurut Santharasekaran, dia merupakan bekas guru sekolah di Sekolah Kebangsaan Bandar Behrang 2020.

Dia baru saja menyerahkan surat peletakan jawatannya semalam untuk bertanding dalam PRK Slim.

Santharasekaran menggambarkan dirinya sebagai seorang yang mesra alam sekitar dan terlibat dengan Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia.

Calon yang berusia 45 tahun itu mengatakan bahawa cita-citanya sebenarnya untuk berkecimpung dalam politik.

Santharasekaran mengatakan bapanya adalah ahli politik bersama MIC dan ibunya adalah pengiring kepada Sultanah Perak.

Dia akan bertanding dalam PRK Slim dengan menggunakan logo 'buku'.

PRK Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai, akibat serangan jantung.

Ia akan diadakan pada 29 Ogos dengan pengundian awal pada 25 Ogos.

Slim mempunyai 23,094 pengundi berdaftar, yang kebanyakannya terdiri daripada kaum Melayu sebanyak 75 peratus, diikuti oleh kaum India (13 peratus), Cina (10 peratus), dan lain-lain (dua peratus).

 

Penganalisis meramalkan kemenangan mudah bagi Umno kerana kerusi itu adalah kubu kuat parti tersebut selama empat penggal terakhir di bawah mendiang Mohd Khusairi.

Pada pilihan raya ke-14, Khusairi memenangi kerusi Slim mengalahkan Mohd Mohd Amran Ibrahim dari Bersatu dan Muhammad Zulfadli Zainal dari PAS, dengan majoriti 2,183 undi.

Gabungan undi dari Umno / BN dan PAS sebanyak 65 peratus akan memberikan kemenangan selesa bagi Zaidi.

DUN Slim berada di kerusi Parlimen Tanjung Malim. Sejak diperkenalkan pada tahun 1959, Tanjung Malim dipegang oleh MCA sehingga Chang Lih Kang dari PKR merampas kerusi itu pada dua tahun lalu untuk PH pada PRU14.

Bagaimanapun, dari tiga kerusi DUN di Tanjung Malim, Sungkai dan Behrang menyokong PH, sementara Slim tetap setia kepada Khusairi dan Umno.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, yang bersama Bersatu, memperoleh majoriti lebih kuat di bawah Perikatan Nasional berbanding ketika memimpin negeri tersebut di bawah Pakatan Harapan.

PRK Slim bagaimanapun tidak dijangka akan berubah menjadi satu referendum oleh pengundi berhubung peralihan kuasa di peringkat negeri oleh Faizal dan Muhyiddin di peringkat persekutuan.

Ketua pembangkang Perak, Abdul Aziz Bari juga menekankan bahawa pembangkang akan menghadapi pertempuran yang sukar.

"Penduduk tempatan, terutama orang Melayu, hanya melihat dan memahami isu-isu tempatan.

"Mereka mungkin tidak tahu mengenai standard atau tahap pembangunan lain dan tidak menyedari bagaimana Umno telah gagal mencapai banyak hal walaupun berkuasa selama lebih dari 60 tahun," kata Abdul Aziz.

PRK Slim adalah pilihan raya keci kedua selepas Chini, yang diadakan di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan, dan juga sejak PN berkuasa sejak Mac tahun ini berikutan kejatuhan kerajaan PH.

Ia juga merupakan PRK ke-12 sejak pilihan raya umum 2018.


Panduankini ini disediakan oleh Faisal Asyraf

Lihat Komen
ADS