Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Majoriti dua pertiga penting untuk elak rampasan kuasa - DAP Sabah

WAWANCARA | Perikatan Nasional mahupun gabungan diketuai Warisan perlu mendapat mandat yang kuat dalam PRN Sabah akan datang bagi menubuhkan kerajaan yang stabil.

Ini bagi mengelakkan keadaan DUN tergantung seperti yang dilihat selepas PRU ke-14 berulang kembali - dengan kedua-dua pihak menang 29 kerusi, yang membawa kepada pertukaran sokongan dan usaha rampasan kuasa yang akhirnya menyebabkan pembubarannya.

Setiausaha DAP Sabah Chan Foong Hin berkata, mana-mana pihak perlu menang kerusi yang cukup serta undi popular yang meyakinkan dalam PRN yang bakal menjelang.

"Ia tidak sepatutnya majoriti tipis atau DUN tergantung seperti pada PRU 2018.

"Tanpa mengira pihak mana yang mendapat sokongan pengundi, mereka perlu memberi mandat yang kuat kepada salah satu pihak," katanya ketika wawancara bersama Malaysiakini.

Dengan pertimbangan itu, Chan berkata DAP, bersama-sama sekutu lain Warisan iaitu PKR dan Upko, menyasarkan 45 hingga 50 daripada 73 kerusi yang akan dipertandingkan, iaitu majoriti dua pertiga.

Katanya lagi, undi popular yang lebih tinggi juga diperlukan. Pada PRU lalu, Warisan-PH mendapat 47.19 peratus undi manakala BN 42.04 peratus.

Dia kekal optimis gabungan diketuai Warisan boleh mendpat kemenangan meyakinkan, berkata sentimen di lapangan kian memburuk buat bekas ketua menteri Musa Aman yang didakwa menggerakkan pertukaran sokongan 13 Adun kerajaan sebelum ini.

Katanya lagi, secara umumnya pengundi Sabah percaya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dikatakan memainkan peranan dalam usaha itu memandangkan setiausaha politiknya serta 'orang kanannya' Hamzah Zainuddin berkunjung ke Sabah sebelum ini.

"Kebanyakan orang Sabah yakin Muhyiddin di belakang langkah 'katak'. Mereka merasakan Muhyiddin di belakang Musa, pengerusi BN negeri Bung Moktar Radin dan pengerusi Bersatu negeri Hajiji Nor.

"Ini bukan soal Muhyiddin baik atau tidak, tetapi anda tidak harus masuk campur dalam kerajaan Sabah. (Siapa yang membentuk) kerajaan negeri perlu diputuskan orang Sabah, bukan Kuala Lumpur," katanya lagi.

Bagaimanapun ada pihak yang membangkitkan bagaimana Shafie membentuk kerajaan negeri pada 2018, untuk mengabsahkan cubaan rampasan kuasa itu.

Ketika itu, di saat kedua-dua pihak menang 29 kerusi DUN, Warisan-PH mendapatkan sokongan Upko yang menguasai lima kerusi.

Bagaimanpun bagi Chan, perbandingan itu tidak tepat memandangkan sokongan terhadap Musa telah merosot pada masa itu dan Warisan-PH mendapat undi popular yang lebih tinggi.

Ketika itu, Musa yang juga Adun Sungai Sibuga mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 2,184 undi, jauh berkurang daripada majoriti 11,569 undi pada 2013.

Shafie pula, yang pertama kali bertanding di kerusi DUN, menang dengan majoriti 5,301 undi.

Pembahagian kerusi belum diputuskan

Dalam pada itu, Chan melihat Warisan dan sekutunya boleh bertanding menggunakan lambang yang sama dalam PRN nanti bagi mencerminkan mereka sebagai satu pasukan.

Pada PRU lalu, kami menggunakan logo sendiri. Tetapi penting untuk kita menang besar dalam PRN ini, jadi penggunaan satu lambang mungkin jalannya.

"Sama ada kami akan menggunakan satu lambang atau lambang sendiri, kami terbuka tentangnya," katanya lagi.

Bagaimanapun bagi DAP, katanya, penggunaan logo sendiri bukan satu masalah kerana parti itu diterima meluas di SAbah.

"Kami tidak menggalas beban (parti dari Semenanjung)," katanya, yang menjelaskan parti itu telah memperjuangkan hak dan isu penduduk tempatan sejak mula melebarkan sayap di Sabah pada 1978.

Dia berkata Warisan, PKR dan Upko belum memutuskan pembahagian kerusi untuk PRN kali ini.

"Tentang berapa kerusi yang akan diperolehi, itu tak penting.

"Apa yang penting adalah untuk menang besar. Hanya dengan majoriti besar di Sabah, kita dapat membina momentum (serupa untuk PRN) di Sarawak, dan hanya dengan itu ada peluang untuk (pembangkang) merampas semula Putrajaya pada PRU akan datang," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS