Paling Popular
Terkini

PARLIMEN l Kerajaan akan meneliti sama ada kompaun ke atas mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 perlu ditingkatkan atau sebaliknya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof.

“SOP (Covid-19) ini akan diperketatkan dan kita selalu mengadakan mesyuarat-mesyuarat di peringkat menteri, peringkat jawatankuasa untuk memastikan adakah SOP itu perlu diperhalusi.

“Contohnya sekiranya kompaun perlu ditingkatkan untuk memastikan kita ni lebih sensitif kepada keadaan semasa.

“Itu akan disemak dalam majlis (keselamatan negara - MKN) dan kita buat keputusan dan kita akan umum kepada masyarakat,” kata Mohd Redzuan di Dewan Rakyat hari ini apabila ditanya tentang rungutan rakyat berhubung jumlah kompaun yang dikenakan terhadap seorang menteri.

Sebelum itu, Nik Abduh Nik Abdul Aziz (PAS - Bachok), dalam soalan tambahannya ingin tahu jika kerajaan berhasrat untuk menggubal satu undang-undang baru, memandangkan ramai di kalangan rakyat yang tidak berpuas hati dengan jumlah kompaun yang dilihat tidak berpatutan.

“Memandangkan wujud rungutan di kalangan rakyat yang tidak berpuas hati dengan maksimum kompaun yang dilihat rendah jumlahnya berbanding kesalahan melanggar SOP yang dilakukan oleh rakyat termasuk pemimpin kerajaan.

“Adakah kementerian berhasrat untuk menggubal satu undang-undang baru khusus bagi memastikan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap SOP pasca pemulihan nanti?,” soal Nik Abduh.

Isu tersebut hadir susulan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali yang telah dikompaun sebanyak RM1,000 kerana tidak melakukan kuarantin kendiri selepas pulang dari luar negara.

Kerajaan sebelum ini mewajibkan semua individu dari luar negara menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari, yang merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Bagaimanapun, Mahfuz Omar (Amanah - Pokok Sena) mencelah dengan mempersoalkan mengapa rakyat melihat seolah-olah kerajaan bersikap berat sebelah berhubung denda yang dikenakan ke atas Khairuddin.

Menjawab soalan itu, Mohd Redzuan mengulangi jawapannya dan memberitahu bahawa menteri yang dimaksudkan itu telahpun membayar kompaun mengikut undang-undang sedia ada.

“Kalau dilihat hari ini kerajaan terus menjunjung keluhuran undang-undang.

“Tidak ada pun dua darjat.. kalau kita lihat hari ni menteri yang disabitkan telahpun dibayar kompaun mengikut kaedah undang-undang yang ada.

“Jika perlu dinaikkan kompaun, kita akan pastikan ia ada pulangan yang boleh membantu mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Lihat Komen
ADS