Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemandu lori terkilan menteri jadikan contoh tak kuarantin diri

Persatuan Pengusaha Lori Johor terkilan dengan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man selepas menteri alam sekitar dan air itu menyamakan keadaan pekerjaan pemandu lori dengan pelanggaran SOP kuarantin oleh menteri perladangan Khairuddin Aman Razali.

Naib presiden persatuan itu, Andrew Chia memberitahu Malaysiakini penjelasan Tuan Ibrahim adalah "tidak masuk akal" dan beliau sepatutnya tidak boleh menggunakan rakyat sebagai contoh untuk melepaskan menteri itu daripada kesalahannya.

"Ini bukan hal yang sama. Ketika menteri telah melakukan sesuatu yang salah, beliau tidak boleh menyeret orang lain ke dalamnya.

"Kami telah mendapat kebenaran untuk mengirimkan barang dan produk sejak awal ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) lagi dan tugasan ini tidak boleh dibandingkan dengan perjalanan menteri ke luar negara.

"Kamu sebagai pemimpin kerajaan mesti bersikap adil. Sekiranya kamu salah, kamu salah dan tidak boleh menggunakan orang lain sebagai kambing hitam," katanya.

Chia juga mengambil maklum pemimpin lain juga perlu menjalani perintah kuarantin, termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan penggantinya Muhyiddin Yassin.

Malah kata Chia lagi, bahkan Yang di-Pertuan Agong juga menjalani kuarantin selepas terdapat kakitangan istana yang positif Covid-19.

"Anda (Tuan Ibrahim) mesti memberi tauladan yang baik sebagai menteri. Adalah tidak masuk akal untuk mewajarkan kesalahan seperti ini," katanya

Menurutnya, walaupun pemandu lori tidak perlu dikuarantin, mereka harus mengikuti peraturan lain untuk mencegah penyebaran Covid-19.

Chia berkata antara lain, ketika lori tiba di pasar atau kilang di Singapura, pemandu tidak dibenarkan meninggalkan kenderaan mereka.

Sebaliknya, kata Chia (gambar, atas) pekerja yang berpengkalan di Singapura akan memunggah barang dan pemandu kemudian akan memulakan perjalanan pulang ke Malaysia.

Dengan kata lain, jelasnya pemandu mempunyai kontak rapat yang sangat terhad dengan orang lain ketika membuat penghantaran di Singapura.

"Biasanya, sebuah lori hanya mempunyai satu pemandu; semakin sedikit semakin baik.

"Pada bulan April, ketika pihak berkuasa mengizinkan kami mengirim barang ke Singapura, semua pemandu telah diuji Covid-19.

"Selepas itu, ketika pemandu lori tiba di pusat pemeriksaan Singapura, suhu mereka akan diperiksa dan mereka sangat ketat dengan pelaksanaan prosedur operasi standard. Pemandu mesti memakai pelitup muka,” tambahnya.

'Kelirukan rakyat'

Sementara itu, Setiausaha DAP Johor Tan Hong Pin berkata kenyataan Tuan Ibrahim itu juga jelas mengelirukan rakyat apabila menyamakan kes Khairuddin dengan pemandu lori yang berulang-alik menghantar sayur ke Singapura tidak perlu kuarantin diri.

"Analogi yang digunakan tersebut amatlah tidak wajar dalam membenarkan kesalahan melanggari undang-undang. Sebaliknya, saya ingin menegaskan bahawa tugas dan peranan pemandu-pemandu lori amat penting dalam merancakkan kembali ekonomi negara melalui aktiviti eksport komoditi pertanian.

"Secara tidak langsung, menjana pendapatan negara dan meningkatkan aliran tukaran mata wang asing.

"Malahan, saya yakin, kita semua, rakyat Malaysia dan para pemandu-pemandu lori logistik sedemikian terus mematuhi segala peraturan dan tetapan piawaian operasi (SOP) yang ditetapkan terkait pandemik Covid-19 sebagaimana ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 24 Ogos lalu, Tuan Ibrahim sewaktu mempertahankan Khairuddin dalam satu kuliah subuh yang disiarkan secara langsung di Facebooknya berkata meskipun Khairuddin tidak melakukan kuarantin wajib selama 14 hari selepas pulang dari Turki, namun dia bebas daripada Covid-19 dan tidak menyebarkan wabak berkenaan.

"Tiap-tiap hari lori bawa sayur masuk Singapura, kena kuarantin ke tak? Tak kena kuarantin. Balik Singapura masuk Malaysia kena kuarantin ke tak? Tak kena.

"Pilot (juruterbang) kena kuarantin ke tak? Pilot hak (yang) bawa kapal terbang, masuk negara 'nun' 14 hari masuk negara ini 14 hari tidak kena kuarantin," katanya.

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Lihat Komen
ADS