Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

KATA MP | Saya mengakui Bahasa Melayu adalah bahasa penyatuan di kalangan masyarakat majmuk negara kita.

Ini tidak bermakna kita perlu menghapuskan bahasa-bahasa lain terutamanya bahasa ibunda.

Sekolah-sekolah vernakular mempunyai sejarah tersendiri dan harus dikekalkan untuk menonjolkan identiti, keunikan dan kepelbagaian etnik di negara kita.

Kepelbagaian dan kemajmukan yang kita warisi ini adalah khazanah negara yang tiada tolok bandingnya.

Oleh itu, adalah tidak wajar untuk pemimpin-pemimpin politik, bersikap janggal dengan mempersoalkan kewujudan sekolah-sekolah vernakular di negara kita.

Saya rasa amat terkilan dengan kenyataan Ketua Armada Bersatu, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (bawah) yang mahu menghapuskan sekolah-sekolah vernakular secara berperingkat.

Beliau berkata, sekolah-sekolah ini tidak mencerminkan citra nasional dan mengagalkan integrasi kaum.

Saya berasa pelik dengan kenyataan dia kerana dia sendiri menjadi ahli dalam sebuah parti politik etnik yang rata-rata menyokong Muafakat Nasional yang berideologikan perkauman.

Pada hemat saya, pemimpin-pemimpin seperti inilah yang merosakkan integrasi antara kaum di negara kita.

Bolehkah dia menasihatkan partinya sendiri iaitu Bersatu dan parti-parti komponen Perikatan Nasional yang lain seperti Umno, MCA dan MIC untuk melupakan agenda perkauman masing-masing dan meletakkan agenda citra nasional untuk mewujudkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara kita.

Gambar hiasan

Betulkan di peringkat atasan dahulu, sebelum menyentuh di bawah!

Jangan pergunakan sekolah vernakular untuk kepentingan politik mana-mana pihak. Masalah perkauman di negara kita adalah berpunca daripada pemimpin-pemimpin politik yang sentiasa membakar isu-isu sensitif untuk meraih sokongan kaum masing-masing.

Ini adalah hakikat yang tidak boleh dinafikan dalam dinamika politik negara kita. Mengecam sekolah-sekolah vernakular itu sendiri adalah satu usaha atau perbuatan yang boleh memecah belahkan rakyat.

Hasutan

Ini juga boleh disifatkan sebagai hasutan yang merosakkan keamanan di negara kita.

“Memansuhkan sekolah vernakular harus dijadikan agenda utama atau agenda nasional,” kata Wan Ahmad Fayhsal yang juga merupakan timbalan enteri belia dan sukan Kerajaan Perikatan Nasional.

Ditambah lagi, dia mendakwa sekolah vernakular rata-rata gagal menghasilkan murid yang memperlihatkan jati diri nasional yang kental.

Saya mencabar dia bahawa dakwaannya itu adalah retorik yang tidak mempunyai asas.

Secara keseluruhannya sekolah-sekolah vernakular menghasilkan murid-murid yang mempunyai semangat patriotik yang cukup membanggakan.

Sekolah Tamil, gambar hiasan

Ramai dari kalangan murid-murid ini fasih dalam bahasa Melayu setanding dengan murid-murid sekolah kebangsaan.

Walaupun di sekolah-sekolah kebangsaan semua murid duduk di bawah satu bumbung, tidak bermakna masalah ini telah selesai.

Adakah integrasi kaum yang sebenar dapat diwujudkan? Tepuk dada, tanya selera. Kita masih melihat anak-anak di sekolah kebangsaan berkumpul dan berinteraksi mengikut etnik masing-masing.

Sekolah vernakular sentiasa dijadikan alasan sebagai punca perpecahan kaum. Ini merupakan agenda politik yang mempunyai niat jahat. Ada banyak lagi cara untuk mewujudkan integrasi kaum di negara kita melalui dasar-dasar kerajaan yang adil dan prihatin.

Saya amat setuju dengan Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadiqie yang menegaskan bahawa terdapat banyak kaedah lain yang boleh dilaksanakan untuk mencapai perpaduan negara.

Dia telah memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan memansuhkan sekolah vernakular. Saya menyanjungi pendirian dia yang berjiwa rakyat dalam mempertahankan sekolah-sekolah vernakular di negara kita.


V SIVAKUMAR adalah ahli parlimen Batu Gajah merangkap timbalan setiausaha agung DAP.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS