Pemandu buat salah, menteri bayar saman trafik
Semua menteri dan timbalan menteri yang dikenakan saman trafik perlu membayar saman masing-masing walaupun kesalahan itu dilakukan oleh pemandu mereka, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar.
Semua menteri dan timbalan menteri yang dikenakan saman trafik perlu membayar saman masing-masing walaupun kesalahan itu dilakukan oleh pemandu mereka, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar.
"Sebagai menteri dan timbalan menteri, kita perlu memberi contoh bahawa kita tidak terlepas daripada saman dan kita juga telah menghantar memo kepada semua pemandu-pemandu untuk tidak membawa laju," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Tengku Azlan berkata perkara ini turut dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini dan diputuskan semua menteri dan timbalan menteri yang terlibat mesti membayarnya.
Menurut laporan Bernama , Tengku Azlan menjawab soalan Datuk Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat) yang bertanya tentang langkah-langkah yang telah diambil oleh kementerian berhubung saman trafik yang dikeluarkan atas nama beberapa menteri dan timbalan menteri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu merupakan antara anggota kabinet yang dikesan mempunyai saman trafik tertunggak itu.
Tali pinggang
Dalam perkembangan lain, Tengku Azlan berkata cadangan Datuk Hasan Malek (BN-Kuala Pilah) supaya penumpang bas awam dan bas sekolah diwajibkan menggunakan tali pinggang keselamatan, akan dikaji.
"Kita akan mengkaji cadangan ini untuk melihat kemungkinan mengadakan undang-undang yang mewajibkan penggunaan tali pinggang keselamatan dalam bas awam atau bas sekolah," katanya.
Beliau berkata kementerian itu telah membentuk Pelan Keselamatan Jalan Raya awal tahun ini yang mensasarkan pengurangkan kadar kemalangan maut di jalan raya sehingga 50 peratus menjelang 2010.
Menurutnya sebanyak 6,188 kes kemalangan maut berlaku tahun lepas dan angka itu menunjukkan pengurangan sebanyak 35 kes berbanding 6,253 yang dicatatkan pada 2004.

