Majlis penerangan isu-isu semasa Umno Wilayah Persekutuan malam tadi dihujani pelbagai soalan, namun pertanyaan 'cepu mas' berkaitan Khairy Jamaluddin, Datuk Kalimullah Hassan, Brendan Pereira dan ECM Libra tidak dijawab.

Ketiga-tiga ahli panel yang mewakili Umno dan kerajaan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Khaled Nordin; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad (foto) mengelak menjawab soalan berkaitan menantu Perdana Menteri dan peneraju akhbar New Straits Times (NST) itu.

Majlis Penerangan tertutup itu berlangsung dari jam 9 hingga 11.30 malam tadi di Hotel Nikko Kuala Lumpur, yang dihadiri oleh kira-kira 700 orang. Pemimpin cawangan dan bahagian di Wilayah Persekutuan. Bendahari Umno Datuk Azim Zabidi dan ahli Majlis Tertinggi, Datuk Norza Zakaria turut duduk di pentas utama.

Seorang ahli jawatankuasa Umno bahagian Bandar Tun Razak yang hadir di majlis itu berkata, majlis tersebut berjalan dalam suasana agak panas, namun terkawal.

Katanya, ahli-ahli panel telah menyentuh isu-isu berkaitan jambatan bengkok, permit import (AP) kereta, kenaikan harga minyak dan perbelanjaan pembangunan kerajaan, tetapi paling mengecewakan apabila tiada siapa yang berani bercakap tentang Khairy, Kalimullah (foto), Brendan dan ECM Libra.

"Seorang wakil dari bahagian Lembah Pantai telah bertanya bagaimana ECM Libra, sebuah syarikat yang kecil, dapat mengambilalih syarikat berkaitan kerajaan, Avenue Capital Resources Bhd.

Isu Avenue Capital

"Beliau bertanya apakah peranan Khairy dalam penggabungan ECM Libra dengan Avenue Capital itu," kata pemimpin Umno Bandar Tun Razak itu lagi.

Wakil dari Lembah Pantai itu juga dikatakan bertanya mengenai tindak-tanduk Penasihat akhbar NST, Kalimullah dan Pengarang Kumpulannya, Brendan Pereira, menyerang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Beliau bertanya mengapa Umno tidak berbuat apa-apa terhadap tingkahlaku NST yang mengecam DEB, menyerang Dr Mahathir dan cuba melaga-lagakan kepimpinan Pak Lah dengan Dr Mahathir.

"Namun semua soalan berkaitan Khairy, NST dan ECM Libra ini tidak dijawab oleh sesiapapun,"ujarnya.

Seorang lagi ahli Umno yang menghadiri majlis itu memberitahu, majlis penerangan itu hampir menjadi majlis ceramah sahaja apabila pengerusinya tiba-tiba mahu menutup majlis sebaik sahaja ketiga-tiga ahli panel selesai memberi 'ceramah' masing-masing.

Tindakan pengerusi majlis itu dikatakan telah menimbulkan ketegangan apabila para hadiri bangun membantah dan meninggikan suara menuntut diadakan sesi dialog.

Undi angkat tangan

"Sesi soal-jawab hanya diadakan selepas dilakukan undian secara angkat tangan. Majoriti hadirin mahukan sesi soal-jawab diadakan," cerita ahli Umno dari bahagian Titiwangsa itu.

Menurutnya, tiada yang luar biasa berlaku dalam majlis itu kecuali hangat seketika apabila beberapa orang bertanyakan soalan dengan cara yang agak lantang.

Pada satu ketika, katanya, seorang ahli telah bertanya kepada Khaled: "Jika menteri boleh kurang ajar dalam akhbar kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, apa salah saya tinggikan suara atau emosional sedikit terhadap beliau?"

Menurut ahli dari bahagian Titiwangsa itu lagi, kelantangan ahli Umno itu telah mendapat tepukan gemurah para pemimpin cawangan dan bahagian yang hadir.

"Memang wajar hadirin mempertikaikan penjelasan mereka kerana tiada fakta-fakta baru yang dibentangkan oleh Khaled, dan Tok Pa. Mereka sekadar mengulangi perkara yang telah diumumkan oleh kerajaan," jelasnya.