Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PBS mahu pulih kuasa, presiden parti baru nak sembuh

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Johnity Ongkili masih menerajui parti itu ke arah pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang bakal berlangsung, ketika beliau sendiri sedang pulih daripada masalah kesihatan.

Ongkili - kini berada dalam penggal keenam sebagai ahli parlimen Kota Marudi- tidak hadir dalam undian penting di Dewan Rakyat pada Mei dan Julai. Beliau cuti kerana masalah kesihatan.

Ini mencetuskan spekulasi sekiranya Ongkili cukup sihat untuk memimpin PBS dalam PRN Sabah yang sengit kali ini.

Pemimpin-pemimpin parti memberi jaminan kepada Malaysiakini bahawa Ongkili kini menunjukkan perkembangan kesihatan yang bagus.

Setakat ini, dia sudah pun membuat keputusan-keputusan penting untuk parti, dan mungkin akan turut serta dalam kempen.

Timbalan Presiden PBS Radin Malleh berkata Ongkili dibenarkan keluar hospital minggu lepas.

Ketika ditanya apakah Ongkili akan hadir semasa hari penamaan calon pada 12 September nanti, Radin menjawab: “Jika diizinkan Tuhan.”

PBS yang pernah memerintah Sabah antara 1985 dan 1994 berharap dapat membuat kemunculan menggegarkan dalam PRN akan datang, dengan mengemukakan 30 calon, berbanding 13 pada 2018.

Lebih-lebih lagi, PBS berkata parti itu tidak akan menggunakan lambang BN mahupun Perikatan Nasional (PN) meskipun Ongkili merupakan seorang menteri dalam kerajaan pusat PN.

‘Beliau terlibat dalam semua perkara’

Pada 2018, Ongkili, 66, mengambil alih PBS daripada ayah saudaranya, Joseph Pairin Kitingan yang mengasaskan parti itu pada 1985, dan menjadi pemimpin selama 33 tahun.

Ketika Pairin memimpin PBS, Ongkili menjadi pegawai Pairin, dan kemudian mendaki pangkat di dalam parti sehingga menjadi timbalan presiden.

Ketua Penerangan PBS Joniston Bangkuai memberitahu Malaysiakini yang Ongkili terlibat aktif dalam persediaan pilihan raya parti, meskipun ketika dia sedang melalui proses pemulihan daripada masalah kesihatannya.

Katanya, Ongkili terlibat dalam proses pemilihan calon dan rundingan agihan kerusi.

“Beliau mungkin tak dapat hadir secara fizikal, tetapi dia terlibat dalam hampir semua perkara. Dia menjadi ketua (kami) dan menyusun strategi.

“Beliau cuba yang terbaik. Meskipun kesihatannya menjadi kebimbangan utama kami, kepentingan dan apa yang berlaku dalam negeri adalah sangat penting untuk dirinya,” katanya.

Joniston, penyandang wakil rakyat Kiulu, berkata, setakat ini, di kalangan ahli parti dan penyokong, semangat mereka masih tinggi.

Merampas semula kubu-kubu kuat

PRN Sabah ini merupakan kali kedua Ongkili menerajui partinya dalam pilihan raya, sejak pilihan raya kecil (PRK) Sandakan pada Mei 2019.

Menurut Jonistion, strategi PBS adalah untuk memfokuskan kerusi-kerusi di pantai barat Sabah, kawasan utara dan kawasan pedalaman. Katanya, 20 hingga 23 kerusi yang disasarkan ialah kerusi majoriti Kadazan Dusun Murut (KDM).

Antaranya, DUN Api-Api dan Kapayan, yang kini dimiliki PKR dan DAP.

Katanya, PBS turut berhasrat merampas semula Tambunan daripada Parti Solidariti Tanah Airku (Star) memandangkan kawasan itu dinamakan sempena nama bandar tempat lahirnya PBS.

Buat masa ini, Tambunan diwakili oleh Jeffrey Kitingan, adik kepada bekas ketua menteri Sabah Pairin Kitingan.

Meskipun PBS menyasarkan 30 kerusi, Joniston mengaku banyak perkara bergantung pada rundingan dengan sekutu pembangkang yang lain, memandangkan matlamat mereka adalah untuk menyingkirkan Warisan.

“Kita kena duduk berbincang demi matlamat mengalahkan Warisan, dan (setakat ini) belum ada keputusan. Kami bagitahu pendirian kami berdasarkan hal itu,” katanya.

Perjanjian Malaysia 1963

PBS secara bersendirian pernah menang pilihan raya dan membentuk kerajaan negeri Sabah sebelum ini. Tetapi sejak menyertai semula BN pada 2002, bilangan calon yang diperuntukkan untuk mereka sentiasa kurang berbanding Umno.

Tahap sokongan buat mereka juga nampaknya semakin pudar. Parti itu mempunyai 13 Adun selepas pilihan raya 2004, tetapi menjadi hanya enam selepas piilhan raya 2018.

Jika tiada aral melintang, lambang “berjabat tangan” PBS akan muncul semula di PRN negeri buat pertama kalinya dalam masa 16 tahun.

https://i.newscdn.net/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/08/c886ed9c16c5ad6d300b70f8b35ea9ce.jpg

Joniston menjelaskan PBS ditubuhkan untuk merealisasikan (fulfilling) perjanjian Malaysia 1963 dan menggunakan lambang berkenaan dalam pilihan raya sebagai simbolik bahawa parti itu tidak pernah goyah daripada pendirian tersebut.

“Bila PBS berkuasa, (musuh kami) tidak menyokong matlamat ini. Tetapi kini, mereka cuma tiru (daripada kami),” katanya.

Sindrom katak

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan penganalisis politik hal ehwal Borneo Jeniri Amir tidak berkongsi pandangan optimis Joniston, memandangkan sejarah menunjukkan pengundi Sabah dilihat tidak terikat dengan parti.

Beliau merujuk Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), yang memerintah Sabah antara 1967 dan 1976, tetapi terbubar pada 1996, serta Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) yang berkuasa pada 1976 tetapi ditewaskan oleh PBS pada 1985, sebelum menjadi tidak relevan di negeri itu.

“Politik Sabah memang macam tu. Susah untuk parti yang sudah bertapak (yang kemudiannya) tumbang daripada kuasa, untuk kembali semula, melainkan mereka boleh mencari pemimpin yang berperawakan sama seperti Pairin,” katanya.

Satu lagi kelemahan PBS, kata Jeniri, adalah hakikat bahawa wakil-wakil rakyatnya mempunyai reputasi melompat parti setelah dipilih. Ini berlaku dalam pilihan raya 1985, yang memaksa pilihan raya mengejut pada 1986, dan sekali lagi pada 1994 yang memaksa Pairin letak jawatan sebagai ketua menteri.

Ini berlaku sekali lagi selepas pilihan raya 2018. Adun PBS di Tandek dan Labuk bertukar arah menyokong Warisan, membuka jalan buat parti itu membentuk kerajaan baru.

Pada Julai, sekumpulan wakil rakyat daripada parti pemerintah sekali lagi menukar sokongan- termasuk Adun Tandek dan Labuk- yang membawa kepada pembubaran DUN.

“(Sejarah lompat parti PBS) mencemarkan imej mereka. Mereka perlu tampilkan orang baru yang berintegriti,” tambah Jeniri.

PN ada masalah imej

Bekas penganalisis Penang Institute dan anak jati Sabah Esther Sinirisan Chong berkata PBS masih lagi mempunyai sokongan di kalangan bumiputera bukan Islam dan mesej parti itu kini dibawa oleh Warisan.

“Bezanya, pemimpin PBS ialah seorang bumiputera bukan Islam sementara pemimpin Warisan ialah bumiputera Islam,” katanya kepada Malaysiakini.

Berkenaan PBS memilih untuk kembali menggunakan logo sendiri, Chong percaya parti itu perlu menjarakkan dirinya daripada BN dan PN memandangkan cubaan gagal bagi membentuk “kerajaan pintu belakang” pada Julai lalu.

“Rakyat menyimpan persepsi negatif terhadap PN kerana ia cuba membentuk kerajaan di luar daripada (jalan) pilihan raya.

“Jika berdiri dekat sangat dengan Musa Aman, orang akan lihat kamu sebagai sebahagian daripada (gerakan) merampas kuasa politik,” kata Chong.

Musa, Adun Sungai Sibuga dan bekas pemimpin Umno Sabah, bersama Jeffrey Kitingan, merupakan muka-muka di sebalik gerakan lompat parti bagi menumbangkan kerajaan Warisan pada Julai lalu.

Chong menjangkakan PBS akan mempergunakan rasa tidak percaya pengundi KDM terhadap Warisan, yang dianggap mempunyai prestasi tidak bagus dalam masalah imigresen atau masalah dalam menangani infrastruktur asas.  

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS