Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Orang Asli: Kami akan lawan rancangan lombong di Pos Lanai

Jawatankuasa Bertindak Tanah dan Wilayah Adat Orang Asli Pos Lanai menegaskan mereka tetap akan membantah dan melawan sebarang rancangan untuk melombong elemen lanthanide di Pos Lanai, Kuala Lipis, Pahang.

Pengerusinya Jeffry Hassan berkata perlombongan tersebut akan memusnahkan hutan di kawasan tanah adat mereka.

“Sebelum ini kami telah melawan (projek) empangan sehingga dapat surat pembatalan daripada Suruhanjaya Tenaga, kenapa sekarang ini pula ada satu kelulusan kajian perlombongan, sedangkan kami telah dapatkan kebenaran dari Suruhanjaya Tenaga bagi projek empangan di wilayah kami dan tak kiralah apa projek sekalipun memang kami tak akan bersetuju.

“Kerana projek-projek ini akan memusnahkan sistem habitat atau pun tanah dan wilayah adat kami.

“Malah, jika ada tawaran dibuat pihak terbabit pun kami tidak akan bersetuju dan menerimanya. Sebaliknya, kita tetap akan lawan,” katanya kepada pemberita, di Kuala Lumpur.

Jeffry Hassan

Terdahulu, Jeffry bersama Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, A Sivarajan dan wakil Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Suresh Kumar, menghantar surat membantah kebenaran menjalankan kajian di perkampungan Orang Asli untuk perlombongan elemen lanthanide kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di Kuala Lumpur.

Peranan Jakoa dengar keluhan Orang Asli

Jeffry berkata beliau dimaklumkan mengenai surat Jakoa yang mendapati pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah memulakan kajian pada 17 Jun sehingga 31 Ogos di perkampungan Orang Asli sekitar Hutan Jelai, Daerah Lipis, Pahang.

Sementara itu, Suresh berkata ini bukan kali pertama perlombongan sebegini dicadangkan di kawasan terbabit dan Orang Asli Pos Lanai juga telah banyak kali membantah.

“Penduduk di sini membantah dan mereka membantah bukan secara verbal, mereka hantar surat kepada Jakoa dan sudah beberapa kali kami ke sini untuk beberapa isu tetapi nampaknya Jakoa tidak memainkan peranan dalam mendengar keluhan Orang Asli.

“Setiap kali ada syarikat yang memohon untuk membuat kajian atau melombong apa jua hasil mahsul di sini mereka diberi lesen atau kebenaran untuk berbuat demikian. Itu yang kami kesalkan dengan Jakoa.

“Kenapa masih memberikan lesen sedangkan komuniti Orang Asli telah banyak kali membuat bantahan,” soalnya.

Bagaimanapun, kata Suresh kajian perlombongan kali ini adalah yang paling teruk .

“Sebab keluasan yang dibuat kajian adalah meliputi keluasan (hutan) 650 hektar, yang terbesar untuk tujuan perlombongan setakat ini dan jika diluluskan ia adalah satu malapetaka untuk komuniti di sana.

“Saya berharap Jakoa, sebelum membenarkan apa jua kajian dan lesen, dengar dulu pendapat Orang Asli di sana. Serta, jangan bergantung sangat kepada JKK kampung kerana JKK kampung kadang kala tidak menyuarakan suara demokrasi Orang Asli,” katanya selain menambah lebih 300 keluarga dari lima ke enam perkampungan akan terjejas dengan kegiatan perlombongan terbabit.

Sementara itu, Sivarajah pula melahirkan kebimbangan jika perlombongan dilakukan di Pos Lanai ini, maka ia akan menjadi satu lagi kes seperti di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan.

“Ini bukan isu dari segi pampasan atau apa-apa imbuhan tetapi ini kerana orang di Pos Lanai ini telah merasai kalau ada apa-apa tawaran alternatif bila empangan dibina, memang mereka akan diminta berpindah di penempatan baru dan kehidupan di sana sangat teruk sekali di mana tiada sumber pendapatan dan tiada sumber alam untuk mereka bergantung.

“Kita juga tak mahu sumber alam ini dicemari, sebab mereka bergantung kepada sungai sebelum ini pun Sungai Telom dah mula tercemar disebabkan air dari Cameron Highlands.

“Ada juga Sungai Suah dulu saya masuk dia bersih lagi tapi sekarang airnya dah keruh sebab ada pembalakan. Memang teruklah dan memang ada tanda-tanda ini akan jadi satu lagi kes di Kuala Koh, Gua Musang,” katanya.

Sivarajah

Menurut Sivarajah, dampak terhadap alam sekitar dan penghidupan masyarakat Orang Asli perlu dipertimbangkan dalam setiap rancangan perlombongan dan pembalakan yang melibatkan kemusnahan hutan.

“Jadi, kita memang tak puas hatilah perkara ini dilakukan. Kalau mereka nak korek (gali) seluruh Malaysia mereka boleh gali tetapi kena ada apakah pertimbangan terhadap kehidupan komuniti Orang Asli dan apakah pertimbangan kepada alam sekitar.

“Sebab itu saya kata kalau tengok duit kita boleh korek (gali) seluruh Malaysia tapi itu bukan isu dia, ada sesetengah benda yang kena kekal dan biarkan. Kalau tidak, awak hanya tengok duit sahaja itu bertentangan dengan cara hidup Orang Asli,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS