Malaysiakini
BERITA

Pemuda lulus usul PAS tanding minima 50 kerusi pada PRU15

N Faizal Ghazali

Diterbitkan
Dikemaskini 12 Sep 2020, 12:21 tengahari

MUKTAMAR PAS | Pemuda PAS meluluskan usul yang dikemukakan agar parti itu bertanding sekurang-kurangnya 50 kerusi parlimen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Usul tersebut dikemukakan oleh Pemuda PAS kawasan Bagai Serai dan kemudiannya dibuka untuk dibahaskan sebelum ia dipersetujui sepenuhnya oleh perwakilan Muktamar Pemuda PAS kali ke-61 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), Kota Bharu, hari ini.

"Mengesyorkan untuk memastikan PAS mendapat minima 50 kerusi (parlimen) berpotensi dan memposisikan 20 peratus kerusi daripada jumlah kerusi ini adalah daripada calon anak muda," kata usul yang diterima untuk dibahas itu.

Susulan itu beberapa perwakilan bangun menyatakan hujah antaranya menyokong supaya usul diterima.

Bagaimanapun ada juga perwakilan yang bangun menyatakan agar usul tersebut dibaiki antaranya dengan meningkatkan lagi sasaran kepada 70 kerusi.

Selain itu terdapat juga cadangan supaya usul itu tidak menyatakan jumlah sasaran tertentu namun dikekalkan 20 peratus kerusi untuk calon anak muda.

Bagaimanapun, undian yang dibuat akhirnya menetapkan usul asal diterima dan diluluskan untuk dibawa ke Muktamar Pusat PAS.

Terdahulu latar belakang usul tersebut dibuat dengan mengambil kira PAS melalui Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) membawa agenda perpaduan ummah.

"Situasi politik negara sama ada kerajaan pusat mahupun beberapa kerajaan negeri menggambarkan bahawa tiada parti yang boleh memerintah bersendiri.

"Situasi ini telah berlaku kepada Pakatan Harapan (PH) yang mana apabila Bersatu keluar daripada PH maka kerajaan pusat tumbang.

"Ia juga berlaku kepada beberapa negeri akhirnya bertukar kepada kerajaan parti komponen PN," kata Pengerusi Usul, Nazir Helmi, yang membacakan latar belakang usul tersebut.

Untuk rekod, pada PRU14, PAS bersama sekutunya Berjasa dan Ikatan dalam Gagasan Sejahtera bertanding di 160 kawasan parlimen dan PAS berjaya memenangi 18 kerusi Dewan Rakyat.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.