Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Agihan kerusi: 'PAS berdepan nasib sama pada PRU15 jika tak bertegas'

Menyuarakan hasrat untuk bertanding di sepuluh kerusi DUN, ketiadaan calon PAS dalam PRN Sabah kali ini mengundang perhatian.

Lebih mengundang cakap-cakap apabila parti itu tidak diundang dalam majlis pengumuman calon gabungan Perikatan Nasional (PN) dan BN pada 10 September lalu.

Ketua penyelidik badan pemikir Ilham Centre, Mohd Yusri Ibrahim mengingatkan PAS sekali lagi boleh menjadi "mangsa" pada PRU15 jika parti itu tidak bertegas dalam soal agihan kerusi.

Apatah lagi mengambil kira PAS dan sekutunya Umno dan Bersatu memiliki tapak sokongan yang sama iaitu pengundi Melayu-Islam, dan justeru akan bersaing di kawasan yang sama.

“Setiap parti akan jadi lebih licik dan berstrategi untuk memastikan memperolehi kerusi maksimum untuk ditandingi.

“Jika pasukan perunding agihan kerusi daripada PAS tidak kompeten seperti ditunjukkan dalam PRN Sabah ini, sekali lagi mereka akan jadi mangsa dalam agihan kerusi PRU15 nanti," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Kelmarin, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata pihaknya mengambil pendirian untuk memberi laluan kepada sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri dalam PRN yang bakal berlangsung 26 September ini.

Katanya, parti itu kekal fokus terhadap persiapan untuk menghadapi PRU15 yang dijangka dalam masa terdekat.

Semalam, timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata memang ada desakan agar PAS diberi laluan tetapi keputusan untuk tidak bertanding adalah bagi "mengelak perangkap musuh".

Dalam pada itu Muktamar Pemuda PAS yang berlangsung di Kota Bharu semalam turut meluluskan usul supaya parti itu bertanding minima 50 kerusi parlimen pada PRU akan datang.

'Perdebatan hangat di muktamar'

Menyifatkan nasib yang dihadapi PAS dalam agihan kerusi PRN Sabah sebagai malapetaka, Mohd Yusri menjangkakan hal tersebut akan menjadi isu perdebatan hangat di muktamar ke-66 parti itu yang sedang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan.

"Kegagalan bertanding walau satu kerusi menimbulkan kekecewaan ramai ahli dan pemimpin, banyak yang meluahkannya di pelbagai medium."


BacaKerusi PRN Sabah: 'Orang tak bagi, kita berlaga' - Kias AJK PAS Pusat


Maka, kata Mohd Yusri, perkara itu pastinya akan dibangkitkan para perwakilan terutama dari Sabah, dan menurutnya tidak mustahil jika ada yang menggesa agar PAS menilai semula kerjasama dengan sekutunya.

Bagaimanapun dia mengakui setakat ini belum ada tanda-tanda bahawa perkara itu menjejaskan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) mahupun Muafakat Nasional (MN).

Sementara itu, Prof Azizuddin Mohd Sani dari Universtiti Utara Malaysia berpendapat perkembangan itu akan mempengaruhi tuntutan PAS bagi peruntukan kerusi pada PRU15.

Azizuddin

“PAS mungkin menerima keputusan tersebut memandangkan pengaruhi mereka juga tidak kuat di Sabah.

“(Tetapi) PAS mungkin akan menggunakan keadaan ini untuk menuntut lebih banyak kerusi di Semenanjung pada PRU15 nanti,” katanya kepada Malaysiakini.

'PAS sudah kaut untung'

Beliau beranggapan PAS telah pun mencapai matlamatnya dengan menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan dan mengetuai pentadbiran di tiga negeri, iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

"Langkah seterusnya untuk PAS mungkin untuk meluaskan pengaruh di negeri-negeri lain," katanya.

Menyuarakan sentimen sama, Mohd Yusri berkata PAS pada satu sisi telah mengaut banyak keuntungan hasil kerjasama politik dalam PN dan MN.

Beliau merujuk kepada jawatan menteri, timbalan menteri serta lantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melibatkan pemimpin parti itu.

“PAS telah memperolehi banyak keuntungan bersifat jangka pendek melalui kerjasama dengan PN dan MN, apatah lagi PAS adalah sebuah parti yang oportunis akhir-akhir ini,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya kerugian yang ditanggung PAS daripada kerjasama itu adalah risiko terjejasnya kepercayaan awam terhadap apa yang dianggap sebagai prinsip dan perjuangan parti sebelum ini.

“Dalam kalangan golongan pertengahan dan berpendidikan, mereka melihat PAS sekarang sudah goyah dalam aspek nilai apabila bekerjasama dengan Umno dan Bersatu,” katanya.

Penamaan calon bagi PRN Sabah berlangsung semalam. SPR mengumumkan sejumlah 447 kertas pencalonan bagi 73 kerusi DUN telah diterima.

Lihat Komen
ADS