Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Apakah Shafie iktiraf tuntutan Filipina, soal Najib
Diterbitkan:  Sep 15, 2020 5:14 PM
Dikemaskini: 9:14 AM

Permintaan Ketua Menteri Sementara Sabah Mohd Shafie Apdal supaya kerajaan pusat berbincang mengenai tuntutan kerajaan Filipina seolah-olah mengiktiraf tuntutan dibuat negara jiran itu.

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata Shafie sudah melakukan kesilapan besar yang akan memberi masalah berpanjangan kepada Sabah dan Malaysia.

"Pada 28 Ogos, dia tiba-tiba keluarkan kenyataan bahawa dia mahu rundingan dengan negara Filipina dilakukan untuk menyelesaikan tuntutan Filipina untuk mengambil Sabah.

"Bila dia kata demikian, Shafie telah memberi asas (atau legitimacy) kepada tuntutan Filipina ini.

"Benda ini paling fundamental dalam diplomasi. Tapi dia buat salah pulak, entah dengan sengaja atau tidak," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein menegaskan sekali lagi bahawa kerajaan tidak akan melayan tuntutan Filipina ke atas Sabah kerana melihat tuntutan tersebut sebagai tidak berasas dan relevan.

Hishammuddin yang mengulas mengenai kenyataan Mohd Shafie sebelum ini, mempersoalkan kenyataan Shafie yang meminta supaya rundingan antara kedua-dua kerajaan diadakan bagi penyelesaian isu tersebut.

Difahamkan, laporan berita bertarikh 28 Ogos itu melaporkan bahawa Shafie meminta rundingan di antara kerajaan Malaysia dan Filipina diadakan kerana selagi tidak kata putus yang membabitkan kedua-dua negara, selagi itulah Filipina akan menimbulkan provokasi.

"Shafie tak faham bahawa bila ketua menteri secara rasminya sebut boleh runding maksudnya ada ruang untuk 'settle' dengan pelbagai pampasan lain yang boleh dituntut oleh mereka.

"Boleh bincang maksudknya boleh 'settle', kan?," kata Najib lagi.

Sebab itu kata Najib kerajaan BN tak pernah melayan dan tak pernah mahu berunding tentang tuntutan rasmi negara Filipina.

Pada 24 Ogos lalu, Shafie turut menggesa Wisma Putra memanggil duta besar Filipina di Kuala Lumpur setelah beberapa pihak di negara itu mencadangkan untuk mencetak peta yang merangkumi negeri Sabah pada pasport negara berkenaan.

Shafie berkata Wisma Putra harus memberi amaran keras kepada duta besar Filipina mengenai tindakan itu, yang menurutnya adalah pelanggaran kedaulatan Sabah dan provokasi yang tidak sepatutunya.

"Sabah adalah negeri yang berdaulat dan perkara ini telah diselesaikan sejak sekian lama," katanya.

Menurut Shafie,  Kementerian Luar Negeri tidak boleh mengambil sikap berlembut terhadap pihak berkuasa Filipina berhubung "kenyataan tidak masuk akal akhir-akhir ini".

Ini selepas Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan merangkumkan Sabah di dalam pasport negara itu.

Peta itu merangkumi zon ekonomi eksklusif 200 batu nautika negara ini dan juga Sabah.

Langkah itu belum dibentangkan di Dewan Perwakilan Filipina untuk mendapatkan undian.

Lihat Komen
ADS