Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Star kesal PBS mungkir janji tambah calon, minta PM bantu

PRN SABAH | Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Jeffrey Kitingan kesal Parti Bersatu Sabah (PBS) mungkir janji mengenai rundingan pembahagian kerusi untuk mengelakkan pertembungan sesama sekutu pada pilihan raya 26 September.

Beliau berkata telah menyuarakan hal ini kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya meminta PBS menarik calon mereka tetapi tidak pasti sama ada percubaan itu berjaya atau tidak.

Kitingan, yang mempertahankan DUN Tambunan, mendedahkan rakan-rakan dalam PBS memberitahunya pada malam hari penamaan calon mengenai kemungkinan PBS menambah jumlah calon mereka.

"Kami periksa semula pada sehari sebelumnya kerana kami menerima banyak khabar angin (bahawa mereka mungkin menambah kerusi mereka).

"Tetapi ketika kami memeriksa, kami diberitahu bahawa mereka tetap dengan 15 kerusi.

Presiden PBS tandatangan watikah calon tambahan

“Saya ragu kerana ini (khabar angin) berasal dari kem PBS itu sendiri. Mereka memberitahu saya tentang hal itu,” kata anggota parlimen Keningau itu kepada Malaysiakini  pada majlis kempennya di Tambunan petang ini.

Seterusnya, Kitingan mendakwa beliau dimaklumkan Presiden PBS Maximus Ongkili menandatangani watikah untuk calon tambahan sehari sebelum hari penamaan calon.

"Saya benar-benar kecewa," keluhnya.

Sebelum ini, PBS berjanji akan meletakkan 15 calon tetapi semasa hari penamaan calon parti itu mengemukakan 22 calon PRN.

Tujuh kerusi tambahan itu adalah Moyog (PBS vs PN-Star), Lumadan (PBS vs BN-Umno), Paginatan (PBS vs BN-Umno vs PN-Star), Tambunan (PBS vs PN-Star), Bingkor (PBS vs PN -Star), Liawan (PBS vs PN-Star), Tulid (PBS vs BN-PBRS vs PN-Star).

Tidak lama kemudian, Timbalan Presiden PBS Radin Malleh (gambar, bawah) mengeluarkan kenyataan, mengakui parti itu pada awalnya merancang bertanding 15 kerusi namun maklum pertembungan sesama sekutu boleh berlaku di sekurang-kurangnya lima DUN.

Radin berkata atas tujuan itu, PBS melakukan analisis terhadap pengundi Kadazan Dusun Murut (KDM) dan berdasarkan permintaan akar umbi parti tersebut memutuskan untuk bertanding di enam kerusi DUN.

Kitingan, yang juga timbalan menteri pelancongan, seni dan budaya (Motac) mendakwa ketika menyatakan rasa kesalnya kepada perdana menteri, Muhyiddin juga turut sama kecewa dengan PBS.

“Beliau kecewa.

"Saya rasa ada usaha untuk meminta mereka (PBS) menarik diri (calon) di kawasan tersebut setelah penamaan calon... tetapi saya juga tidak tahu sama ada mereka berjaya atau tidak," tambahnya.

Kitingan menegaskan partinya menerima bertanding di lapan kerusi kerana beliau merasa perkara yang paling penting bagi Perikatan Nasional (PN) adalah tiada pertembungan sesama sendiri.

"Tetapi pada hari penamaan calon, mereka tidak hanya mencalonkan 15 calon tetapi juga tujuh lagi calon termasuk di tempat saya (kerusi di Tambunan).

"Ya, saya berasa marah tetapi pada masa yang sama saya tidak mahu membuang tenaga saya. Saya akan fokus pada kemenangan, itu sajalah.

"Kalau saya tahu saya akan letak calon Star di 15 kerusi mereka juga. Tetapi saya percaya mereka, jadi saya tidak berbuat demikian,” katanya.

Jelasnya, pertembungan antara Star dan PBS hanya akan menguntungkan lawan mereka, gabungan Warisan Plus.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS