Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRN SABAH | Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Jeffrey Kitingan, yang sebelum ini mengancam akan membawa parti itu keluar daripada PN sekiranya tidak diberikan sekurang-kurangnya 18 kerusi, akhirnya berubah fikiran.

Jeffrey berkata dia tidak gembira apabila partinya hanya diberikan lapan kerusi Dun, namun memutuskan untuk menerima keputusan berkenaan dan kekal bersama Perikatan Nasional (PN).

"Sudah tentu kita tak gembira, tapi kita harus terima bahawa kita berada dalam satu pasukan," katanya kepada media selepas PN mengumumkan senarai calonnya hari ini.

"Kami adalah satu pasukan, jadi ikutlah pasukan".

"Jumlah kerusi terhad. Jadi kita tolak ansur. Apa yang penting kita harus pastikan kita menang kerusi yang kita ada," katanya.

Beliau berkata Star akan kekal bersama PN kerana gabungan itu merupakan kerajaan persekutuan.

Pada 8 Sept lalu, Jeffrey berkata Star harus diperuntukkan 15 hingga 18 kerusi oleh gabungan itu, tetapi ia hanya ditawarkan antara enam hingga lapan kerusi.

Beliau pada masa itu tidak menolak kemungkinan bahawa Star akan meninggalkan PN jika tidak diberi 16 hingga 18 kerusi.

Terdahulu, PN Sabah mengumumkan bahawa Bersatu akan bertanding 19 kerusi Dun, manakala PBRS bertanding dua kerusi dan PBS meletakkan lapan calon.

Walaupun menjadi anggota PN, PAS tidak diperuntukkan sebarang kerusi.

Ketika diminta mengulas lanjut, Jeffrey berkata keputusan itu diambil disebabkan sentimen akar umbi.

"(Ini) kerana, saya rasa sentimen di bawahlah," katanya.

PAS sebelum ini dilaporkan mahu bertanding 10 kerusi Dun pada pilihan raya negeri berkenaan.

[Berita penuh menyusul]

Lihat Komen
ADS