Forum IPCMC mengecewakan...
Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah 'mensia-siakan' peluang pertamanya Khamis lalu untuk memperjelaskan pendirian mereka mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).
Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah 'mensia-siakan' peluang pertamanya Khamis lalu untuk memperjelaskan pendirian mereka mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Omar telah menolak jemputan untuk bercakap dalam ceramah awam bertajuk 'IPCMC: Ya atau tidak?' anjuran Majlis Peguam Di Kuala Lumpur.
"Beliau juga menolak untuk menghantar seorang wakil dengan alasan perkara tersebut telah diserahkan sepenuhnya kepada pihak kerajaan (untuk memutuskannya)," kata Pengerusi Majlis Peguam, Yeo Yang Poh dalam ucapannya di majlis tersebut yang berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Selangor.
Naib Presiden Persatuan Bekas Polis, Abdul Malek yang pada mulanya dijangka hadir bagi membincang isu tersebut, juga menarik diri.
Seorang lagi penceramah, Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Ezam Mohd Noor, yang berada di Jakarta untuk membantu mangsa tsunami, pula terkandas di sana kerana masalah penerbangannya.
Berikutan itu, forum berkenaan akhirnya diteruskan dengan dua ahli panel peguam R Sivarasa dan bekas Pesuruhjaya Suhakam, Prof Mohd Hamdan Adnan dengan dipengerusikan oleh Yeo.
Sivarasa melahirkan kebimbangannya mengenai versi draf IPCMC yang akan dilaksanakan oleh kerajaan.
"Adalah lebih baik untuk melihat bentuk IPCMC yang akan ditubuhkan itu kerana sehingga ini masih belum jelas apa yang telah dipersetujui oleh pihak polis," katanya merujuk kepada kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Musa Hassan menyokong IPCMC baru-baru ini.
Implikasi politik
Sivarasa, yang juga Naib Presiden PKR, berpendapat usaha pembaharuan dalam PDRM tidak berakhir dengan penubuhan IPCMC.
"Perbaharuan itu perlu juga menangani soal ketidak seimbangan komposisi kaum dalam pasukan tersebut. Wajah pasukan itu mesti mencerminkan realiti masyarat Malaysia yang pelbagai kaum," katanya.
Beliau juga menggesa pasukan polis supaya "berhenti daripada menjadi alat politik kerajaan dan kembali menjadi sebuah pasukan yang profesional.
"Dianggarkan terdapat 20,000-30,000 pegawai cawangan khas (daripada keseluruhan 80,000 anggota polis). Tidak hairanlah mengapa peragut boleh bergerak bebas kerana SB sibuk menghadiri ceramah seumpama ini," katanya disambut tepukan para hadirin.
"Seramai 4,000-5,000 lagi adalah anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU). Tetapi tidak perlu seramai itu kerana demonstrasi tidak berlaku hari-hari di Malaysia," katanya.
Sementara itu, Hamdan pula menegaskan pentingnya IPCMC mempunyai "kuasa sebenar" untuk menjalankan tugasnya.
"Jika tidak, ia akan menjadi satu lagi 'badan perhiasan' yang tidak diperlukan di Malaysia. Cadangan penubuhannya bertepatan dengan masanya dan sokongan rakyat adalah penting untuk menjadikannya satu realiti," katanya.
Daripada aduan yang diterima oleh Suhakam, Hamdan yang mengetuai jawatankuasa aduan dan inkuiri, berkata 60 peratus daripadanya adalah aduan terhadap polis. Terjemahan


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.