Forum awam Article 11 di Johor Bahru berjalan tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini hari ini dengan dikawal ketat oleh kira-kira 200 anggota polis sejak jam 7 pagi tadi.

Manakala perhimpunan membantah forum tersebut, yang diketuai oleh PAS, berada di kawasan letak kereta berhampiran Hotel New York, yang terletak kira-kira 100 meter dari Hotel Selesa tempat forum itu dijadualkan diadakan sebelum ini.

Turut kelihatan di situ ialah van bergerak serta kereta peronda polis. Manakala kakitangan polis trafik pula mengawal lalulintas di situ.

Beberapa trak polis dan sebuah helikopter polis turut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di kawasan ibupejabat balai polis Johor yang terletak di seberang jalan hotel tersebut.

Kira-kira 300 orang termasuk anggota PAS dan badan Islam bukan kerajaan (NGO) yang datangnya dari Kuala Terengganu, Pulau Pinang, Kota Baru and Alor Star berkumpul bagi membantah penganjuran forum tersebut.

Sepanjang demonstrasi tersebut, mereka mendesak supaya dihapuskan sebarang usaha untuk menubuhkan IFC (Majlis Antara Agama) atau menggunakan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan terhadap agama Islam dan menuntut digunakan Akta Polis supaya memberhentikan forum berkenaan.

Mereka yang diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Dr Mahfuz Mohamad, berarak hingga ke hadapan hotel berkenaan sambil melaungkan slogan dalam bahasa Melayu dan Arab dan diselangselikan dengan bacaaan doa dan al-Quran.

200 anggota polis

Pintu masuk ke hotel berkenaan dikawal ketat oleh anggota polis. Kumpulan tersebut berkumpul di situ selama hampir dua jam sepanjang forum tersebut dijalankan di dalam hotel berkenaan.

Mereka membawa kain pemidang yang bertulis Pertahankan hak umat Islam,"Jangan Cabar Kami, Jangan Ganggu Agama Kami, Jangan Sentuh Sensitiviti Islam, dan Hancurkan Gerakan Anti-Islam.

Kira-kira 200 anggota polis, termasuk yang berpakaian biasa dan anggota polis anti-rusuhan, dikerahkan mengawal di sekitar kawasan tersebut, kata Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selantan, SAC Roslan Ahmad kepada para pemberita di situ.

Roslan turut memaklumkan kepada mereka bahawa perhimpunan tersebut adalah perhimpunan haram, tetapi menurutnya saluran perbincangan masih terbuka.

Beliau memberi amaran kepada kumpulan tersebut supaya beredar di situ, sambil berkata beliau akan berbincang dengan para penganjur terbabit.

Mereka yang berkumpul di situ terus melaungkan 'Batal, Batalkan, Allahu-akbar dan Jangan Ganggu Islam.

Berunding dengan penganjur

Dalam tempoh setengah jam pertama, Roslan mengadakan rundingan secara bergilir-gilir dengan penganjur bantahan tersebut serta penganjur forum awam itu bagi meredakan ketegangan di situ.

Pemimpin kumpulan tersebut, termasuk Mahfuz diiringi hingga pintu dewan di mana mereka terus mengadakan perbincangan supaya forum tersebut dihentikan.

Satu ketika suasana di luar dewan tempat forum itu diadakan menjadi tegang, sehingga memaksa para penganjur mengunci pintu dan menyekat laluan masuknya. Ramai anggota polis ditempat di dalam dan di luar dewan tersebut.

Ketika itu, keadaan semakin tegang sehingga seorang peserta bantahan tersebut yang melaung-laung, terpaksa dibawa oleh polis dari laluan masuk ke dewan berkenaan.

Pada kira-kira jam 11.07 pagi, Roslan mengarahkan semua wartawan meninggalkan segera tersebut kerana bimbangkan keadaan menjadi buruk sekira pihak polis terpaksa bertindak. Mereka dibawa keluar oleh pegawai polis.

Kemudiannya, ketika ditanya mengenai status perhimpunan tersebut, Roslan mengesahkan ianya adalah perhimpunan haram.

Laporan polis

"Ia pasti satu perhimpunan haram...beberapa pemimpin dan individu telah dikenalpasti dan akan dipanggil tidak lama lagi," katanya.

Katanya, laporan polis telah dibuat dan mereka telah akan memulakan siasatan malam ini.

Ditanya mengapa pasukan anti-rusuhan tidak berbuat apa-apa tidak sepertimana anggota polis di Kuala Lumpur yang terus bertindak selepas amaran pertama bersurai tidak diendahkan Roslan berkata, beliau mementingkan langkah-langkah keselamatan dan lagi pula, kumpulan tersebut tidak melakukan apa-apa.

"Kerana itulah saya berunding dengan kedua belah pihak supaya menghentikannya sebelum jam 1 tengahari seperti dijadualkan bagi forum tesebut. Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan ia dianggap sebagai aman," katanya.

Malah, katanya, kedua belah 'telah menang' kerana masing-masing mempunyai masa yang sama banyak untuk melakukan apa yang mereka hajatkan.

Sejurus sebelum forum tersebut bermula, anggota Gabungan Article 11 Pengarah Eksekutif Persatuan Bantuan Wanita (WAO), Ivy Josiah berkata, beliau gembira dengan kehadiran ramai anggota polis di situ.

Katanya, pihak polis berkata mereka tidak akan memberhentikan forum tersebut tetapi akan memantau keadaan di situ.

Ketika ditemui sebelum perarakan tersebut, Mahfuz memberitahu malaysiakini, apa yang mereka mahu hanyalah supaya pihak penganjur menghentikan forum tersebut.

Isu murtad

"Mereka campurtangan dengan Islam, ini merupakan satu perbuatan jenayah. Kita akan mengadakan perarakan aman hari ini. Ia tidak akan berlaku seperti di Pulau Pinang," katanya merujuk kepada forum yang sama yang diadakan di negeri itu sebelum ini.

"Tetapi jika dicabar, kami tidak boleh berdiam diri. Kita tidak mahu murtad berterusan di depan mata kami di negara yang mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi.

"Hakikatnya ialah sekali memeluk Islam, mereka tidak boleh meninggalkannya. Hanya mahkamah syariah boleh mengendalikan perkara seumpama itu, jadi kami menganggap ini sebagai mengganggu halehwal agama kami," katanya.

Katanya, mereka tidak menentang kebebasan agama lain di negara ini.

"Tapi kita mesti mempertahan dan melindungi kepercayaan kita. Tiada sebarang kompromi mengenainya. Kita tidak terikat dengan klaus kebebasan dalam perlembagaan. Rakyat boleh menyuarakan pandangan mereka tetapi jangan masuk campur," katanya.

Forum tersebut berakhir pada jam 11.30 pagi selepas peguam Malik Imtiaz dan Honey Tan, pakar perlembagaan, Prof Dr Shad Saleem Faruqi dan Presiden WAO Meera Samanther selesai berucap dan sesi soal-jawab tamat.

Manakala mereka yang menyertai perhimpunan bantahan tersebut, beredar kira-kira 20 minit kemudiannya.

Forum awam itu dianjurkan bersam oleh Gabungan Article 11 dan 13 NGO serta Majlis Peguam. Terjemahan