Buat pertama kalinya satu perbincangan terbuka mengenai isu-isu terkini tentang kedudukan Islam dalam sistem perundangan dan politik negara diadakan di sebuah masjid di ibu negara semalam, sambutannya amat mengkagumkan.

Lebih 10,000 orang memenuhi bahagian dalam dan luar Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur bagi mendengar forum bertajuk 'Syariah dan Cabaran Semasa' yang berlangsung selama 4 jam mulai pukul 9 pagi itu.

Dewan serbaguna masjid berkenaan penuh sesak hingga hadirin terpaksa duduk di atas lantai dan tangga di dalam dan luar dewan berkenaan.

Ahli panel forum itu terdiri dari Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Yusri Mohamad, Presiden Persatuan Peguam Islam Malaysia, Zainur Zakaria, bekas Mufti Pulau Pinang, Datuk Sheikh Azmi Ahmad dan peguam Sulaiman Abdullah dan Kamar Aniah Kamaruzaman.

Forum tersebut anjuran Pertubuhan Pembela Islam yang merupakan gabungan lebih 70 pertubuhan Islam bukan kerajaan.

Harussani dalam ucapannya mahu umat Islam berganding bahu bangkit menangkis serangan dan ancaman yang bertali arus dari musuh Islam dari dalam dan luar negara.

"Isu yang membabitkan umat Islam semakin kritikal. Murtad semakin berleluasa, pegangan umat Islam semakin lemah sedangkan perlindungan kerajaan semakin terhakis."katanya.

Harussani berkata, beliau telah menemui Majlis Raja-raja meminta satu tindakan diambil terhadap beberapa isu yang membabitkan umat Islam tetapi majlis berkenaan mendakwa mereka tidak ada kuasa untuk bertindak.

"Saya juga menemui pegawai Pejabat Peguam Negara dalam isu murtad tetapi mereka mahu rekod. Saya beritahu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan mereka kata, hendak siasat dulu."

"Kalau begini caranya apa yang boleh kita harapkan daripada mereka untuk melindungi umat Islam di negara ini," katanya.

Pub dan injil

Kamar Aniah pula melahirkan kekesalannya terhadap sikap beberapa menteri beragama Islam yang tindakannya langsung tidak tidak menampakkan ciri sebagai seorang penganut Islam.

" Menteri Pelancongon Datuk Tengku Adnan Mansor mahu membenarkan pusat hiburan dibuka hingga pukul 5 pagi, Datuk Zulhasnan Rafique (Menteri Wilayah Persekutuan) mahu membuka pub di kawasan perumahan dan Datuk Zainuddin Maidin (Menteri Penerangan) mahu membenarkan kitab Injil dalam bahasa Melayu.

" Untuk apa ini semua? Sudah tentu kitab Injil itu supaya dibaca oleh orang Melayu yang beragama Islam," katanya.

Kamar Aniah yang mempunyai pengalaman sebagai seorang peguam syariah selama 20 tahun juga bertanya apakah tindakan jabatan Peguam Negara terhadap pihak-pihak yang memurtadkan Azalina Jailani (Lina Joy)?

Manakala Sulaiman yang pernah menjadi Presiden Majlis Peguam pula mahu kerajaan mempertahankan dan memperkasakan lagi bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Katanya, dalam isu murtad, hanya Mahkamah Syariah yang paling layak untuk menentukan kedudukan sama ada seseorang itu beragama Islam atau murtad.

Zainur Zakaria pula meminta umat Islam bangkit mempertahankan hak Islam daripada diganggu gugat oleh orang yang tidak mempunyai kepakaran dalam agama itu.

" Adakah orang Islam sanggup membiarkan orang bukan lslam menentukan agama mereka. Ini yang cuba dilakukan oleh Suruhanjaya Antara Agama (IFC). Saya sangat bimbang jika orang bukan Islam yang menentukan agama kita," kata beliau yang juga bekas Presiden Majlis Peguam.

Di majlis itu pihak penganjur turut mengutip tandatangan menyokong program itu serta melancarkan kutipan derma dan berjaya mengutip lebih RM42,000.