Paling Popular
Terkini

Meskipun Anwar Ibrahim yakin dengan jumlah sokongan majoriti yang diperolehnya untuk membentuk kerajaan baru, ahli parlimen PAS dan Bersatu seolah-olah memandang enteng pengumuman daripada Pengerusi Pakatan Harapan itu.

Ahli Parlimen Batu Pahat Rashid Hasnon berkata kata-kata yang lebih kurang sama pernah dinyatakan oleh Anwar sebelum ini. Namun, bekas ahli parlimen PKR yang kini menyertai Bersatu melalui Langkah Sheraton itu memilih untuk bersikap tunggu dan lihat, apabila diminta mengulas lanjut mengenai pengumuman terdahulu hari ini.

“Itu dia (Anwar) yang kata (majoriti kukuh). Dia pernah berkata perkara yang sama juga (pada) 2008 “we have slight majority,” (pada) 2013 “we have the numbers”. (Pada ) 2020 “we have formidable majority.”

“So we just follow up-lah daripada trend apa yang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebut,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

“Saya rasa kita kekal tenang,” kata timbalan yang di-Pertua Dewan Rakyat itu sambil menggambarkan ia bertentangan dengan apa yang berlaku dengan kempen di PRN Sabah ketika ini.

Terdahulu, Anwar yang juga Presiden PKR dalam satu sidang media tergempar di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur memaklumkan bahawa majoriti yang diperolehi itu adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis.

“Bukan, empat, lima atau enam (kerusi) tetapi majoriti,” katanya sambil menambah ahli parlimen yang menyokongnya terdiri daripada pelbagai parti,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah turut senada dengan pemimpin dari Perikatan Nasional bahawa pengisytiharannya itu belum pasti dapat menumbangkan kerajaan sedia ada.

“Kerajaan PN tidak akan tumbang dengan hanya dia buat pengisytiharan, ada kaedahnya. Bukan apabila kita isytihar terus tumbang,” katanya yang juga memilih untuk tunggu dan lihat perkembangan seterusnya.

Bercakap kepada Malaysiakini, Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata perkara sama terjadi sebelum kerajaan PN dibentuk apabila Anwar turut menyatakan bahawa mempunyai sokongan majoriti yang cukup tetapi perkara sebaliknya berlaku.

“Isytihar, tapi bila sampai masa bilangan tak cukup. Dari segi kaedahnya bila dah cukup bilangan dia perlu mengadap Yang di-Pertuan Agong, untuk menyatakan perkara itu.

“Kalau undi tak percaya biasanya dibawa ke Parlimen. Perdana menteri ada dua pilihan dari segi perlembagaan kalau betul-betul dia sudah kehilangan sokongan ahli parlimen dia perlu letak jawatan ataupun dia mengadap Seri Paduka dan menasihatkan supaya dibubarkan parlimen,” katanya.

Lihat Komen
ADS