Perbicaraan kes pasangan berpegangan tangan ditangguhkan
Kes mahkamah pasangan yang didakwa berkelakuan sumbang di taman awam KLCC pada 2003 telah ditangguhkan sehingga 25 September depan.
Kes mahkamah pasangan yang didakwa berkelakuan sumbang di taman awam KLCC pada 2003 telah ditangguhkan sehingga 25 September depan.
Perbicaraan kes tersebut dijadual masuk ke hari ketiga hari ini, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana pegawai pendakwa tidak dapat hadir kerana urusan penting keluarga.
Kakitangan di Mahkamah Majistret Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memberitahu para wartawan mengenai penangguhan tersebut pagi ini.
Ketika dihubungi, peguambela pasangan tersebut, S Selvam berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak mahkamah mengenai penangguhan kes tersebut petang semalam.
"Saya dimaklumkan bahawa ipar pegawai pendakwa sakit tenat dan dia tidak dapat menghadiri perbicaraan hari ini. Kakitangan (mahkamah) berkata mereka telah menghantar faks mengenai penangguhan tersebut tetapi saya tidak menerimanya," katanya.
Selvam berkata, beliau berhasrat untuk merayu supaya tarikh perbicaraan itu dipercepatkan kerana ia merupakan perkara yang membabitkan kepentingan awam dan tidak boleh ditangguhkan terlalu lama.
'Nilai ketimuran'
Perbicaraan tersebut akan disambung dengan sesi soal-balas terhadap saksi pertama bekas pegawai penguatkuasa DBKL, Mohd Noor Abdul Manaf, oleh peguambela.
Dalam keterangannya pada 19 Julai lalu, Mohd Nor berkata, beliau mengeluarkan saman kepada pasangan tersebut di taman berkenaanpada 2 Ogos 2003, berdasarkan kepada 'nilai-nilai ketimuran' dan prinsip Rukunegara.
Pasangan tersebut Ooi Kean Tong, 25, dan Siow Ai Wei, 23 didakwa berkelakuan sumbang tetapi pasangan itu mendakwa, mereka hanya sekadar membaca surat dan berpegangan tangan apabila pegawai DBKL itu menahan mereka.
Mereka mengaku tidak bersalah apabila dihadap ke mahkamah pada 2004 dan kekal dengan pengakuan tersebut terhadap tuduhan pindaan apabila perbicaraan bermula pada 18 Julai tahun ini.
Kes tersebut turut mendapat liputan media antarabangsa dan mencetuskan bantahan awam. Pasangan tersebut kini telah berpisah.

