Malaysiakini
BERITA

Mat Hasan desak Zahid tentu hala tuju Umno lepas 'dipinggir' di Sabah

Diterbitkan
Dikemaskini 1 Okt 2020, 6:34 pagi

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan mendesak presidennya, Ahmad Zahid Hamidi supaya menentukan hala tuju parti itu susulan 'dipinggirkan' selepas PRN Sabah.

Menurutnya, keputusan PRN Sabah menunjukkan bahawa strategi dan kerjasama politik yang Umno meterai, tidak menguntungkan, malah semakin memencilkan peranannya di Sabah.

"Daripada sebuah parti yang menguasai Sabah selama 27 tahun, Umno waktu ini hanya pemain politik terpencil dalam gabungan GRS (Gabungan Rakyat Sabah).

"Apa yang berlaku di Sabah memerlukan Umno memikirkan semula pendekatan politiknya. 

"Jika Sabah dijadikan sandaran, kelangsungan, pengaruh dan keterlihatan Umno akan terus terjejas dalam jangka masa pendek dan akhirnya melemahkan Umno dalam jangka waktu panjang," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Umno bersama dalam GRS pada 26 Sept lalu berjaya menewaskan Warisan Plus dalam PRN Sabah sekali gus berjaya membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, didakwa berlaku pertikaian di sebalik pembentukan porfolio jemaah menteri kerajaan negeri termasuk jawatan ketua menteri diberikan kepada wakil Bersatu.

Dalam perkembangan itu Mohamad berkata, pengorbanan Umno memberikan kerusi terkuatnya kepada parti tertentu telah menjejaskan kekuatan Umno secara signifikan.

Malah jelasnya, lebih menyedihkan Umno terpaksa berhadapan dengan calon bebas yang ditaja oleh pihak berkepentingan untuk melemahkan Umno.

"Janji yang dimeterai berkaitan portfolio kabinetpun hampir dimungkiri. Umno tidak boleh membiarkan episod pilihan raya Sabah menjadikan kedudukannya seperti kata pepatah, ‘biar alah sabung, asal menang sorak’.

"Justeru, telah tiba masanya presiden Umno memberikan pedoman dan hala tuju jelas kepada parti dan semua ahlinya, tentang bagaimana kita harus meneruskan kerjasama kita dengan saingan politik kita.

"Satu konsensus politik yang tegas harus dihasilkan, untuk meredakan keresahan, ketidakpuasan hati dan rasa marah ahli terhadap cara Umno diperlakukan dalam PRN Sabah," tegasnya.

Sementara itu tambahnya, Umno mesti berhenti bernostalgia bahawa kerjasama politik melalui “langkah Sheraton” adalah demi menyelamatkan negara.

Kata Mohamad, episod itu telah berakhir dan episod seterusnya ialah bagaimana Umno akan mengemudi negara ini, memberikan kepimpinan kepadanya dan mencipta masa depan Malaysia yang lebih baik melalui BN dan bukannya platform politik lain.

"Kita akan dinilai dengan apa yang boleh kita tawarkan kepada Malaysia. Bukan betapa besarnya pengorbanan kita untuk parti tertentu atau kelangsungan Perikatan Nasional.

"Jika kita terpaksa bersendiri bersama PAS dalam Muafakat Nasional dan BN serta parti komponennya dalam menghadapai PRU akan datang, maka putuskan sedemikian dengan segera, agar kita dapat menyediakan diri.

"Marilah kita mulai saat ini, mengembalikan Umno ke landasan sebenarnya. Kusut dihujung, baliklah kepangkal. 

"Dan marilah kita bekerja bersungguh-sungguh, membangunkan semula Umno agar ia menjadi wadah yang dipercayai dan di dukung oleh bangsa Melayu dan rakyat Malaysia," jelas Mohamad.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.