Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Azizah gesa kerajaan tolak cadangan tabika elit
Diterbitkan:  Oct 1, 2020 1:41 PM
Dikemaskini: 5:41 AM

Bekas timbalan perdana menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa kerajaan menolak cadangan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mewujudkan taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) elit, selenggaraan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Wan Azizah yang juga bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata ini kerana hasrat KPLB itu hanya akan melebarkan jurang pemisahan di antara golongan B40 dan T20, sekali gus boleh menyebabkan keretakan perpaduan masyarakat.

Menurut Wan Azizah yang juga ahli parlimen Pandan, Malaysia juga seharusnya melangkah ke arah pendemokrasian pendidikan awal kanak-kanak yang dapat memberikan kesaksamaan terhadap pendidikan yang berkualiti.

“Tabika elit yang dicadangkan oleh Kemas itu adalah bertentangan dengan aspirasi ini dalam pendidikan awal kanak-kanak.

“Aspirasi pendemokrasian pendidikan awal kanak-kanak ini telah dipelopori sebelum ini dengan rancangan menggabungkan institusi-institusi pendidikan awal kanak-kanak melalui penubuhan satu jawatankuasa khas,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Azizah berkata demikian sebagai mengulas hasrat KPLB untuk mewujudkan tabika elit.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Abdul Rahman Mohamad semalam dilaporkan berkata kerajaan berhasrat mewujudkan Tabika elit buat kanak-kanak berusia empat hinga enam tahun, dengan kurikulum yang lebih baik.

Bagaimanapun, ia menyasarkan kanak-kanak dengan ibu bapa yang memiliki "keupayaan kewangan yang tinggi".

Malah menurut laporan Berita Harian, Abdul Rahman Mohamad berkata, kertas cadangan “tabika elit’ sedang diperincikan dan akan dibentang dalam mesyuarat Kabinet.

Jika diluluskan, beliau berkata projek perintis akan diwujudkan di kawasan tertentu khusus untuk ibu bapa daripada golongan M40 (berpendapatan pertengahan).

Bagaimanapun, sejumlah pihak mengkritik cadangan itu dengan berkata ia akan melebarkan lagi jurang pendidikan antara golongan kaya dan miskin.

Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pendidikan awal kanak-kanak atau ECD (early child development) amat penting kerana ia merupakan asas kritikal dalam pembangunan dan kejayaan seseorang.

Katanya, menurut WHO lagi wawasan strategik dalam pendidikan awal kanak-kanak perlu menitik beratkan kualiti persekitaran yang membina, termasuklah pendekatan hidup dan pendidikan yang melibatkan ibu bapa, penjaga, keluarga dan masyarakat.

“WHO berpendapat kerajaan dan masyarakat sivil harus bekerjasama dengan keluarga bagi menyediakan akses yang saksama kepada semua kanak-kanak kepada persekitaran yang berkualiti lagi membina,” katanya.

Lihat Komen
ADS