Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: K'jaan laksana kawalan rentas daerah seluruh Sabah
Diterbitkan:  Oct 1, 2020 4:09 PM
Dikemaskini: 10:32 AM

Mesyuarat Khas Menteri-Menteri hari ini memutuskan untuk melaksanakan kawalan rentas daerah di seluruh negeri Sabah yang akan berkuatkuasa mulai jam 12:01 malam nanti.

Dalam satu kenyataan, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata arahan itu akan berkuat kuasa bermula 3 Oktober hingga 16 Oktober.

"Namun begitu, perkhidmatan perlu (essential services) seperti keperluan bekalan makanan, perubatan, keselamatan dan lain-lain adalah dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas daerah.

"Sepanjang tempoh ini, mereka yang sedang dikuarantin dan akan tamat tempoh kuarantin dibenarkan pulang ke daerah masing-masing atau pulang ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan," katanya.

Katanya sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan oleh kerajaan negeri Sabah melalui Jawatankuasa Bencana Alam Covid-19 Sabah yang dipengerusikan setiausaha kerajaan negeri.

Sementara itu, Bernama memetik Ismail Sabri berkata Kementerian Kesihatan (KKM) tidak pernah menyiarkan nama individu yang positif Covid-19 kerana perkara tersebut tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi.

Katanya, mana-mana pihak yang mengeluarkan nama individu dijangkiti wabak berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Begitu juga dengan arahan kuarantin 14 hari yang hanya KKM sahaja boleh mengeluarkan surat pengesahan kepada setiap individu sama ada mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19 atau yang mempunyai gejala.

“KKM akan memaklumkan mengenai kuarantin 14 hari melalui surat yang akan dihantar kepada mereka yang terlibat,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dan tidak menjadi penyebar berita palsu kerana perkara itu boleh menyebabkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 98 individu kerana ingkar arahan PKP semalam dengan 95 dikompaun dan tiga lagi direman, melibatkan kesalahan seperti penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka dan gagal lunas caj kuarantin.

Menerusi Operasi Benteng bagi mengawal sempadan negara, beliau berkata seramai 59 pendatang tanpa izin ditangkap, selain tiga kenderaan darat dan sebuah bot turut dirampas.

Mengenai kuarantin wajib, seramai 38,321 individu pulang ke tanah air sejak 24 Julai hingga 30 Sept dan ditempatkan di 66 hotel dan 11 premis termasuk institut latihan awam (ILA) dan institusi pengajian swasta.

Katanya daripada jumlah itu, seramai 8,698 individu sedang menjalani kuarantin wajib manakala 106 lagi dihantar ke hospital untuk rawatan, selain 29,517 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

Lihat Komen
ADS