Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lima lagi kluster baru dikesan
Diterbitkan:  Oct 8, 2020 9:44 PM
Dikemaskini: 1:44 PM

Terdapat pertambahan lima kluster baru Covid-19 di dalam negara iaitu Kluster Tujuh Serangkai dan Kluster Tanamera di Sabah, Kluster Jalan Pantai di Kuala Lumpur, Kluster Bah Arnab di Sarawak dan Kluster Bah Bangat di Labuan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kluster Tujuh Serangkai di Tuaran melibatkan kes indeks ke-11,569 yang telah menjalani saringan bergejala pada 5 Okt dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan.

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan 22 lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti manakala 302 individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam sidang akhbar harian yang disiarkan melalui Facebook berhubung situasi Covid-19 di Kuala Lumpur hari ini.

Bagi Kluster Tanamera, beliau berkata ia melibatkan kes indeks ke-12,868 yang telah dikenal pasti positif hasil saringan bergejala pada 29 Sept dan dimasukkan ke Hospital Tawau.

“Berdasarkan saringan kontak rapat, lapan lagi kes positif telah dikesan manakala tiga individu lagi masih menunggu keputusan,” katanya.

Mengenai Kluster Jalan Pantai, Dr Noor Hisham berkata kes indeks ke-14,265 dan ke-14,266 itu dikenal pasti positif hasil saringan bergejala pada 8 Okt dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat telah mengesan enam lagi kes positif dan tujuh individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Seterusnya, mengulas lanjut mengenai Kluster Bah Arnab kes indeks ke-13,488 itu dikenal pasti positif hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi Sabah pada 7 Okt dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah mengesan tiga lagi kes positif,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata bagi Kluster Bah Bangat, kes indeks ke-12,377 itu dikesan positif pada 3 Okt juga hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi Sabah.

“Saringan kontak rapat telah mengesan lapan lapan lagi kes positif dan mereka telah dimasukkan ke Hospital Labuan untuk rawatan.

Beliau berkata punca jangkitan bagi semua kluster baru ini masih dalam siasatan.

Kluster lain yang mencatatkan pertambahan kes termasuk Kluster Tembok (14 kes), Kluster Jalan Meru (12 kes), Kluster Ramai-Ramai (enam), Kluster Laut (lima), Kluster Benteng LD (tiga), Kluster Bah Puchong (dua) manakala Kluster Bah Sintok, Kluster Selasih, Kluster Penjara Reman masing-masing mencatatkan satu kes.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS