Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umno merupakan hegemoni dalam politik Malaysia untuk berdekad lamanya. Apabila sekutunya dalam BN mula kehilangan pengaruh pada 2008, dimanika kuasa dalam gabungan itu semakin berpusat kepada parti itu.

Umno menjadi selesa dengan kepatuhan terhadapnya dan mula menjangkakan perkara sama dari anggotanya.

Apabila skandal 1MDB di bawah pentadbiran presidennya Najib Razak mula dilaporkan di seluruh dunia, hanya protes kecil muncul daripada dalam parti itu. Dan ia tidak bertahan lama.

Hegemoni Umno tumbang ketika PRU 2018 selepas parti itu memandang ringan keretakan dalaman yang berlaku.

Walaupun kuasa yang dipegangnya selama 61 tahun berakhir, Umno selaku parti tetap antara yang paling berpengaruh. Ia menang 54 kerusi Parlimen dan 21 peratus undi popular - peratusan tertinggi untuk mana-mana parti.

Parti serpihannya, Bersatu hanya memberikan luka kecil. Bersatu menang 13 kerusi tetapi berjaya membentuk kerajaan persekutuan dengan parti dalam PH.

Tetapi ia bukan penamat. Umno yakin jika ia bersama-sama dengan PAS di bawah Muafakat Nasional, ia akan mampu mengambil semula kuasa pada PRU akan datang.

Ia semakin jelas selepas beberapa langkah silap yang dibuat kerajaan PH - di sebalik usahanya untuk melakukan pembaharuan - menyebabkan popularitinya merosot terutama di kalangan orang Melayu - asas sokongan Umno dan PAS.

Rancangan itu diabaikan secara tidak semena-mena selepas Umno dan PAS ditawarkan kuasa - lebih cepat daripada jangkaan mereka.

Bersatu, di bawah presidennya Muhyiddin Yassin, sedar akan rancangan Umno dan PAS.

Ditolak ke sudut

Melihat kekalahan yang bakal dihadapi Bersatu dalam PRU, Muhyiddin membawanya keluar daripada PH dan membentuk gabungan baru - Perikatan Nasional (PN) - dengan parti pembangkang, termasuk Umno dan PAS.

Mereka tidak melepaskan peluang selepas ditawarkan jalan pintas ke Putrajaya. Umno menggunakan pendekatan yang diplomatik tetapi di sebaliknya, niat parti itu jelas - menerima tawaran Bersatu pada masa ini dan menolaknya pada PRU akan datang.

Ramai yang meramalkan pengakhiran Bersatu, termasuk bekas pengerusinya Dr Mahathir Mohamad. Muhyiddin bagaimanapun membuat beberapa langkah yang nampaknya berjaya membuat Umno bimbang.

Muhyiddin bergantung kepada seorang ahli politik yang berkesan dan dipercayainya, Hamzah Zainuddin, yang walaupun memegang jawatan Menteri Dalam Negeri, meluangkan banyak masa untuk mengukuhkan Bersatu dan PN serta membuat rundingan politik.

Hamzah Zainuddin

Dia menyusun rundingan yang membawa kepada PRN Sabah. Ia dimenangi Gerakan Rakyat Sabah (GRS) dan Bersatu mendapat jawatan ketua menteri.

Sejak awal Umno memang tidak berpuas hati dengan Bersatu yang "mencuri" 16 ahli Parlimennya sebelum ini. Kini ia mendapati rancangannya untuk kembali sebagai hegemoni semakin pudar apabila rakan utamanya, PAS tampak semakin ke arah Bersatu.

PAS berulang kali menyuarakan sokongan untuk mengekalkan PN pada PRU akan datang manakala Umno mahu BN sebagai pemain utama.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga seperti hilang sebahagian kawalan terhadap anggota Parlimen partinya. Ada juga yang menjadi penyokong gabungan PN, seperti Setiausaha Agung BN Annuar Musa dan Menteri Luar Hishammuddin Hussein.

Hakikat bahawa Muhyiddin tidak terbuka dalam sejumlah pertuduhan rasuah terhadap beberapa anggota Parlimen Umno yang dibuat ketika pentadbiran PH juga menambah rasa tidak puas hati pihak-pihak tertentu dalam Umno. Zahid antara pemimpin yang berdepan tuduhan jenayah.

Di sebalik tekanan yang ada, Zahid juga sedar sokongan yang dinikmati Muhyiddin cukup nipis, iaitu 113 daripada 222 ahli Parlimen.

Menjadi faktor penentu

Harapan Umno untuk kembali sebagai "raja" mungkin kian pudar, tetapi ia mungkin boleh memainkan peranan sebagai 'kingmaker'.

Pada 23 September lalu, Anwar mendakwa dia mendapat majoriti sokongan ahli Dewan Rakyat untuk menggantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Beberapa jam kemudian, Zahid mengeluarkan kenyataan mengesahkan "ramai" ahli Parlimen Umno yang menyokong Anwar.

Anwar Ibrahim

Perkembangan yang berlaku mencetuskan kebimbangan di kalangan sekutu PKR, terutama DAP yang bimbang Anwar mungkin membuat rundingan dengan tokoh Umno yang kini berdepan tuduhan rasuah.

Anwar tidak mendedahkan ahli Parlimen Umno yang menyokongnya. Semalam, dia akhirnya mengadap Yang di-Pertuan Agong dan mendakwa mendapat sokongan lebih 120 ahli Parlimen. Dia tidak mendedahkan senarai nama ahli Parlimen yang menyokongnya.

Pada hari yang sama, Umno mendedahkan gerakannya. Ia mengumumkan sedang menimbang untuk menarik semula sokongan terhadap kerajaan PN dan ingin memberikan syarat kerjasama baru kepada PN.

Walaupun - sekali lagi - menggunakan bahasa diplomasi dengan Bersatu, ia sebenarnya satu ancaman untuk menjatuhkan pentadbiran Muhyiddin jika tuntutan Umno tidak dipenuhi.

Menariknya, kenyataan itu tidak dikeluarkan Majlis Tertinggi (MT) yang dibarisi pemimpin tertinggi Umno tetapi biro politik majlis tersebut. Ia membayangkan tidak semua pemimpin Umno yang setuju dengannya.

Kenyataan itu juga hadir dua hari sebelum Zahid dijadual mengadap Yang di-Pertuan Agong. .

Susulan pertemuan dengan Anwar, Sultan Abdullah memanggil sejumlah pemimpin parti untuk mengesahkan dakwaan presiden PKR itu.

Bagaimanapun, Istana Negara hari ini menangguhkan semua pertemuan susulan sekatan berkaitan Covid-19.

Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur dan Selangor dijadual berkuatkuasa sehingga 27 Oktober.

Sementara tumpuan adalah terhadap usaha Anwar untuk mendapatkan kuasa dan langkah Muhyiddin untuk menyekatnya, dalam beberapa minggu ini, perhatian pasti juga terhadap Umno yang telah menunjukkan ia masih mampu mengubah dan mempengaruhi keadaan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS