Perintah tahanan reman ke atas seorang lelaki bergelar "Datuk" yang disyaki terbabit dalam insiden semburan pemedih mata terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Kota Bharu Jumaat lepas dilanjutkan sehari lagi.

Menurut Ketua Polis Kelantan SAC I Datuk Zulkifli Abdullah, ini bagi membolehkan polis meneruskan siasatan berhubung kejadian tersebut.

"Perintah tahanan reman selama tiga hari yang diperolehi Sabtu lepas berakhir hari ini, bagaimanapun kami masih memerlukan sedikit masa sebelum menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa raya untuk tujuan pendakwaan," katanya di Kota Bharu.

Menurut laporan Bernama, perintah itu diberikan oleh Majistret Mohamed Nazri Ismail di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.

Lelaki berkenaan, yang juga anggota Umno, dimasukkan ke wad hospital itu setelah mengadu tidak sihat awal pagi semalam.

Polis menahan lelaki berkenaan di rumahnya di Pasir Tumboh, Kota Bharu kira-kira pukul 10 malam Jumaat lepas.

Selain beliau, polis turut mengambil keterangan daripada 27 saksi termasuk tujuh anggota tentera dari Markas 8 Briged, Pengkalan Chepa berikutan kejadian di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra itu ketika Dr Mahathir tiba untuk lawatan sehari ke Kelantan.