Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB Kedah arah agensi kemuka cadangan halang tanam ketum
Diterbitkan:  Oct 20, 2020 7:04 PM
Dikemaskini: 11:09 AM

Kerajaan negeri Kedah akan mengarahkan agensi berkaitan untuk mengemukakan pandangan atau kajian berhubung pindaan undang-undang penggunaan tanah bagi menghalang penanaman ketum di negeri itu.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dipetik Bernama berkata isu berkaitan penanaman ketum dan pindaan undang-undang berhubung penggunaan tanah berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat exco, esok.

“Kami akan arahkan agensi-agensi kemukakan laporan tentang tindakan yang boleh diambil berdasarkan Kanun Tanah Negara, Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan mengesyorkan agar kerajaan negeri meminda undang-undang berkaitan penggunaan tanah khususnya yang dapat menghalang penanaman ketum secara berleluasa di negeri itu.

Untuk rekod, pada Ogos lalu Indonesia menetapkan ketum sebagai salah satu tanaman ubat komoditi keluaran Kementerian Pertanian republik itu, manakala Thailand menjadi negara pertama di Asia Tenggara menghalalkan penggunaan ketum bagi tujuan perubatan pada 2018.

Pada masa lalu, terdapat cadangan supaya kerajaan melalui Kementerian Kesihatan disarankan untuk mewujudkan satu akta khas bagi penggunaan dan pemilikan tanaman ketum bagi tujuan perubatan.

Malahan, bekas pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Zahidi Zainul Abidin pada 2018 berkata kerajaan wajar memikirkan cara membantu pekebun kecil menambah pendapatan, bukannya mengharamkan ketum ditanam.

Zahidi yang juga MP Padang Besar dan kini timbalan menteri berkata dalam keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan pendapatan petani dan pekebun kecil memang terjejas.

Justeru katanya kerajaan wajar mencari jalan alternatif bagi meringankan kesempitan mereka, termasuk menjalankan penanaman ketum.

“Dalam keadaan harga getah dan sawit jatuh sekarang, ketum adalah alternatif terbaik kepada pekebun kecil.

“Dan memandangkan kerajaan tidak bagi subsidi dan pemberian bantuan itu dibayar secara sekali (one-off), kerajaan perlu memikirkan tanaman yang boleh membantu pekebun kecil,” katanya.

Lihat Komen
ADS