Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Exco kesihatan Pulau Pinang saran akta khas guna, tanam ketum

ULASAN| Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan disarankan untuk mewujudkan satu akta khas bagi penggunaan dan pemilikan tanaman ketum bagi tujuan perubatan.

Saya melihat penggunaan ketum sebagai rawatan alternatif bagi mengatasi masalah penagihan dadah opioid seperti heroin selain daripada penggunaan metadon bukan sahaja mampu menjana pendapatan penduduk, malah juga mengurangkan perbelanjaan negara untuk mengimport bahan metadon dari negara luar.

Pelbagai kajian yang telah dijalankan oleh agensi kerajaan dan institut penyelidikan tempatan seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan universiti tempatan melihat ketum sebagai satu komoditi yang berpotensi untuk dikembangkan di luar negara dalam industri perubatan berikutan permintaan negara luar yang begitu tinggi terhadap bahan tersebut.

Kerajaan harus berpandangan bahawa perlu untuk memperbetulkan pemahaman masyarakat awam tentang isu penggunaan daun ketum dalam memberi manfaat bukan sahaja kepada individu penagih, malah kepada pengusaha petani di luar bandar dan juga kepada ekonomi negara.

Maka, menjawab kenyataan Yang Dipertuan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Mohd Azis Jamman, saya berpandangan Pemadam perlu melihat perkara ini sebagai satu peluang untuk memperbetulkan stigma melalui kerja-kerja berbentuk penerangan dan advokasi akan kelebihan daun ketum dari sudut kesihatan.

Kerajaan seharusnya menyokong usaha yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) dalam menyebarkan maklumat dan membetulkan tanggapan yang salah terhadap manfaat daun ketum yang secara saintifik mampu mengatasi masalah penagihan dadah.

Potensi daun ketum dalam memajukan ekonomi negara dalam industri herba dilihat sangat tinggi berikutan amat sedikit paten berkenaan dengan ubat dan produk berasaskan daun ketum serta kajian yang dilakukan oleh Universiti Sains Malaysia mendapati daun ketum di utara Malaysia mempunyai kualiti yang lebih tinggi berbanding negara lain.

Penubuhan Pusat Tanaman Herba Bertam yang dibangunkan oleh Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang juga sangat bersedia untuk dijadikan sebagai pusat kajian dan pengkomersialan produk berkaitan ketum untuk digunakan dengan selamat selaras dengan hasrat dan wawasan kerajaan yang ingin menjadikan industri herba tergolong dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang berpotensi untuk menjana pendapatan negara.

Saya berpandangan kerajaan harus mewujudkan satu akta khas bagi penggunaan dan pemilikan tanaman ketum melihat kepada bukan sahaja potensi untuk meningkatkan lagi pendapatan negara, malah juga sebagai rawatan alternatif yang mampu atasi masalah ketagihan dadah di negara ini.

Usaha kerja-kerja penyelidikan perlu diberikan kepada agensi-agensi penyelidikan dan perbincangan secara terbuka bersama masyarakat awam perlu dilakukan secara kerap bagi membetulkan tanggapan salah terhadap manfaat daun ketum.


DR AFIF BAHARDIN ialah exco pertanian & industri asas tani, pembangunan luar bandar dan kesihatan merangkap anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS