mk-logo
Berita
Tiada keterangan kukuh terhadap kes Khairuddin - AGC
Diterbitkan:  Oct 21, 2020 5:25 PM
Dikemaskini: 9:51 AM

Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan siasatan mengenai aduan yang dibuat terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dr Khairuddin Aman Razali telah selesai dijalankan oleh pihak polis.

"Pihak polis telah menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan menteri telah gagal untuk menjalani perintah kuarantin di rumah yang sepatutnya bermula dari 7 Julai 2020 dan berakhir pada 21 Julai 2020 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa.

"Kertas siasatan yang lengkap telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya.

"Hasil kajian dan penelitian terhadap segala keterangan yang dikemukakan dalam kertas siasatan mendapati pegawai diberi kuasa telah menggunakan budi bicaranya untuk tidak mengeluarkan sebarang perintah pemerhatian atau pengawasan di rumah bagi mengarahkan menteri menjalani pemerhatian atau pengawasan di rumah di bawah subseksyen 15(1) Akta 342," kata AGC dalam kenyataan hari ini.

AGC berkata ia mendapati Borang 14b seperti yang diperuntukkan dalam Garis Panduan Kementerian Kesihatan Malaysia yang mengandungi perintah pemerhatian atau pengawasan selaras dengan subseksyen 15(1) Akta 342 tidak pernah diserahkan kepada menteri sebelum beliau dibenarkan pulang ke rumah.

Bagi menjadikan perbuatan melanggar perintah kuarantin di rumah sebagai suatu kesalahan di bawah Akta 342, perintah pemerhatian atau pengawasan di rumah mestilah diserahkan kepada menteri terlebih dahulu sebagaimana kehendak di bawah subseksyen 15(1) Akta 342.

"Berdasarkan perkara yang tersebut di atas, Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang pertuduhan terhadap menteri memandangkan tiada keterangan yang kukuh bagi memenuhi beban bukti yang diperlukan di bawah undang-undang."

Kata AGC, penelitian terhadap kertas siasatan menunjukkan bahawa menteri telah berlepas ke Turki pada 3 Julai 2020, dan telah kembali ke Malaysia pada 7 Julai 2020.

"Sejurus tiba di KLIA, Menteri telah menjalani pemeriksaan kesihatan untuk saringan Covid-19 (swab test) dan keputusannya adalah negatif."

"Menteri telah pun dibenarkan pulang ke kediamannya oleh pegawai daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, selaku pegawai diberi kuasa yang dilantik di bawah seksyen 3 Akta 342," katanya.

Tambahnya lagi, Khairuddin telah menjalani ujian saringan kali kedua pada 10 Julai 2020 di Hospital Kuala Lumpur sebelum menghadiri majlis di Istana Negara pada 17 Ogos 2020. Keputusan saringan kali kedua juga adalah negatif.

Untuk rekod, pada Ogos, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenakan denda maksimum RM1,000 terhadap Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus kerana mengingkari peraturan kuarantin.

Pada 30 Sept, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata bahawa Jabatan Peguam Negara mengarahkan polis untuk mengambil beberapa lagi tindakan terhadap kertas siasatan dan berharap polis dapat memenuhi arahan itu dengan segera.

Pada 7 Okt, Malaysiakini melaporkan bahawa polis menyerahkan semula kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara.

Selepas dikenakan denda RM1,000, Khairuddin memohon maaf dan menyatakan hasrat untuk menyumbangkan kepada kerajaan empat bulan gajinya sebagai menteri.

Kegagalan kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap Khairuddin telah mencetuskan kritikan pelbagai pihak yang menuduh kerajaan mengamalkan pilih kasih.

Bekas perdana menteri, Najib Razak juga mencadangkan supaya Khairuddin dihadapkan ke mahkamah untuk mendiamkan pembangkang daripada mengkritik isu tersebut.

Terdapat juga desakan supaya beliau melepaskan jawatannya sebagai menteri perusahaan, perladangan dan komoditi susulan kegagalan mematuhi perintah kuarantin wajib itu.

Bagaimanapun, Khairuddin berkata tiada sebab untuknya meletakkan jawatan sebagai menteri kerana beliau tidak membuat sebarang kesalahan yang membabitkan tugasnya.

"Saya tak buat salah melibatkan kerja, tetapi melibatkan kekhilafan dalam isu prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS