Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kertas siasatan kes Khairuddin diserah ke AGC tak lama lagi
Diterbitkan:  Sep 30, 2020 6:00 PM
Dikemaskini: 12:03 PM

Selepas 44 hari didedahkan gagal melakukan kuarantin kendiri, status kes membabitkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali mungkin akan diketahui tidak lama lagi.

Ia selepas Bukit Aman mengesahkan kertas siasatan berhubung isu itu akan dihantar semula ke Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam tempoh terdekat.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed, pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu Huzir ditanya perkembangan terkini kes pelanggaran arahan kuarantin melibatkan menteri PAS itu.

"Kita sudah dapat balik kertas siasatan, ada beberapa tindakan lagi yang perlu kita laksanakan.

"Dalam masa terdekat ini kita dah dapat selesaikan arahan-arahan dikeluarkan oleh pihak AG (peguam negara) dan kita akan hantar semula kertas siasatan kepada pihak AGC selepas tindakan kita selesai," katanya.

Terdahulu, Khairuddin yang juga ahli parlimen Kuala Nerus mengundang kecaman ramai kerana tidak menjalani kuarantin kendiri selepas pulang dari Turki.

Dia hadir di Dewan Rakyat kurang dari seminggu selepas kembali ke negara ini.

Khairuddin yang juga anggota Jawatankuasa Pusat PAS kemudian dikompaun sebanyak RM1,000 atas pelanggaran tersebut. Dia juga menyumbangkan semula gajinya selama beberapa bulan ke tabung Covid-19.

Sebagai rekod pendedahan pelanggaran melibatkan Khairuddin itu dibuat Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok pada 18 Ogos lalu pada sesi persidangan Dewan Rakyat.

Lihat Komen
ADS