Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Annuar jangka pendaftaran MN di ROS makan masa sikit

Pendaftaran Muafakat Nasional (MN) secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) dijangka akan "memakan sedikit masa,” kata setiausaha agung bersama sekretariat gabungan itu, Annuar Musa.

Annuar yang juga setiausaha agung BN berkata ini kerana Muafakat Nasional memerlukan sedikit masa bagi kerja-kerja prapendaftaran.

“Anggota kena duduk bersama, kena draf perlembagaan, wujudkan logo dan tentukan sistem yang nak di guna pakai.

“Semua itu perlu dirunding baik-baik. Ia juga perlu kelulusan setiap parti anggota dan ia akan memakan masa,” katanya kepada Malaysiakini.

Annuar berkata demikian ketika ditanya bila MN akan didaftarkan.

Umno dan PAS semalam bersetuju untuk mendaftarkan secara rasmi Muafakat Nasional dengan ROS.

Perkara itu diumumkan Annuar dalam satu kenyataan bersamanya dengan setiausaha II MN, Takiyuddin Hassan.

Menurut kenyataan bersama itu kepimpinan Muafakat Nasional telah bersepakat secara bersama serta memberi komitmen untuk terus memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara parti sebagai persiapan menghadapi PRUI5 yang akan datang.

Dalam kenyataan ringkas tiga perenggan itu, Annuar dan Takiyuddin bagaimanapun tidak menjelaskan berkaitan status Bersatu dalam gabungan itu dan sama ada penyertaannya telah dimuktamadkan.

Ogos lalu, Bersatu bersetuju menyertai MN setelah diundang oleh gabungan itu.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bagaimanapun membayangkan MN akan menjadi "gabungan besar” yang mendukung PN - idea yang mendapat tentangan terbuka daripada beberapa pemimpin Umno.

Bagaimanapun, mengulas lanjut Annuar berkata kesemua proses yang diperlukan MN sudah mula dijalankan.

“Kerja ke arah itu sudah bermula,” katanya ringkas dan tidak mengulas lanjut bila ia dijangka dimuktamadkan.

Lihat Komen
ADS