mk-logo
Berita
‘Syukur Khairuddin bebas, PH boleh cari isu lain pula’
Diterbitkan:  Oct 22, 2020 12:29 PM
Dikemaskini: 7:00 AM

Keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap Menter Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali disambut baik dengan rasa syukur oleh pimpinan PAS.

Anggota Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berpendapat semua pihak perlu berlapang dada menerima keputusan berkenaan.

"Saya merafak syukur kepada Allah di atas pengumuman oleh pihak berwajib bahawa YB Datuk Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali adalah bebas dan tidak pun melakukan sebarang kesalahan melanggar perintah kuarantin sepertimana dakwaan musuh politik beliau sebelum ini.

“Adalah amat jelas, tiada arahan dikeluarkan kepada beliau untuk melaksanakan kuarantin diri pada bila-bila masa pun sebaik beliau pulang dari luar negara.

"Sebaik isu ini dipanaskan sebelum ini, beliau telah pun memohon maaf secara terbuka, berbesar hati mengaku bersalah 'secara sukarela' bagi menutup kekhilafan oleh pihak lain, membayar kompaun maksimum yang dikenakan ke atasnya dan secara sukarela juga memotong gaji selama tiga bulan.

“Maka adalah amat elok untuk kita bersama-sama menerima keputusan peguam negara hari ini dengan penuh lapang dada," katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.

Terdahulu, AGC memutuskan tidak mengemukakan sebarang pertuduhan terhadap menteri memandangkan tiada keterangan yang kukuh bagi memenuhi beban bukti yang diperlukan di bawah undang-undang.

Dalam perkembangan itu, Nik Abduh berkata, dia juga perlu terima kasih kepada pihak pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) yang membuat aduan demi aduan kepada pihak polis agar Mohd Khairuddin disiasat demi ketelusan dan integriti.

"Walaupun keputusan hari ini amat tidak memihak serta menggagalkan pihak pembangkang untuk terus memanaskan isu ini, tetapi nyata kebenaran telah diangkat dan diletakkan pada tempatnya yang mulia.

"Justeru saya fikir, sementara kebenaran yang dinantikan ini dirayakan oleh pencintanya, pihak pembangkang bolehlah bergerak kepada isu-isu lain yang lebih bertenaga untuk menarik undi rakyat kepada mereka.

"Banyak lagi isu boleh dimainkan. Lagipun politik negara kan tak berapa stabil sekarang? PH pun dah memang terkenal mampu menjadikan seekor nyamuk sebagai seekor gajah," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS.

Lihat Komen
ADS