Beberapa persatuan pengguna tempatan tidak sekata dalam cadangan memboikot produk keluaran syarikat antarabangsa yang menyalurkan bantuan kewangan kepada Israel.

Persatuan-persatuan berkenaan berpendapat tindakan tersebut wajar bagi menunjukkan bantahan kepada kekejaman Israel di Lubnan tetapi ada juga yang bimbang tindakan ekonomi itu akan memberi kesan kepada inflasi dalam negara.

Setiausaha Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, regim Israel wajar dikenakan tekanan politik dan ekonomi bagi mendesak mereka menghentikan kezaliman di Timur Tengah.

"Masyarakat pengguna mampu melakukan sesuatu bagi menghentikan kekejaman itu sebagaimana yang dilakukan oleh Gandhi untuk menjatuhkan empayar British," katanya.

Menurut laporan Bernama, Noor Nirwandy berkata walaupun tiada kempen khusus diadakan untuk memboikot barang berkenaan, masyarakat perlu mempunyai kesedaran tentang siapa yang menjadi dalang yang membantu Israel.

"Jika masyarakat rasa kezaliman Israel sudah di luar batas kemanusiaan, maka tindakan boikot boleh diambil sebagai perjuangan peribadi, sekurang-kurangnya ini adalah tindakan minimum yang boleh diambil, kerana kalau hendak pergi berperang memang kita tidak mampu," katanya.

Sementara itu Presiden Fomca N.Marimuthu pula berkata cadangan untuk memulau barang keluaran Amerika Syarikat dan Britain perlu diteliti memandangkan banyak produk keluaran mereka merupakan barangan keperluan pengguna.

Katanya, implikasi daripada tindakan boikot itu perlu dikaji dengan mendalam kerana ia boleh member kesan besar kepada negara.

Beliau juga mengingatkan, tindakan memboikot itu boleh menyebabkan inflasi mendadak dalam negara.

Jumaat lalu Pemuda Umno mengajak rakyat Malaysia memulau produk dari Amerika Syarikat dan Britain bagi membantah keganasan regim Yahudi itu di Lubnan.

Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, pergerakan itu akan mengeluarkan senarai produk dan syarikat Amerika Syarikat serta Britain yang merestui keganasan terbaru Israel di Lubnan itu.