Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM masih ketuai mesyuarat MKN walaupun desas-desus darurat
Diterbitkan:  Oct 24, 2020 4:13 PM
Dikemaskini: 8:32 AM

Sidang khas Majlis Keselamatan Negeri (MKN) berkenaan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berlangsung seperti biasa hari ini meskipun semalam dilaporkan kabinet meluluskan cadangan pengisytiharaan darurat.

Pengisytiharaan darurat memerlukan persetujuan Yang di-Pertuan Agong, namun perkara yang dibincangkan Muhyiddin ketika menghadap Seri Paduka semalam juga sehingga kini masih tidak jelas.

Berdasarkan hantaran di laman Facebook Muhyiddin, perdana menteri ketika sidang khas MKN itu menekankan keperluan untuk mewujudkan Pelan Jangka Masa Sederhana-Panjang dengan lebih terperinci.

“Bukan sahaja untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat dan ekonomi negara, tetapi juga untuk menangani keresahan rakyat,” katanya.

Muhyiddin turut menggesa menteri kabinet lebih fokus memerangi Covid-19 dan sekali lagi membuktikan kebolehan negara melawan wabak tersebut.

Selain itu, perdana menteri juga mengingatkan ahli mesyuarat supaya lebih teliti dalam membuat keputusan untuk menguruskan Covid-19 dengan lebih berkesan.

“Menurutnya, setiap keputusan yang dibuat mestilah difahami manfaat, risiko dan kesannya kepada kesihatan dan ekonomi rakyat,” kata hantaran tersebut.

Mesyuarat harian yang diadakan secara sidang video itu telah bermula sejak 7 Oktober lepas.

Istana Negara hari ini menjelaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah akan berbincang dengan Raja-raja Melayu berhubung cadangan yang disampaikan Muhyiddin semalam.

Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan itu, tiada perincian khusus berhubung cadangan yang dikemukakan Muhyiddin atau terdapat perbincangan berhubung pengisytiharaan darurat.

Sesetengah anggota kabinet mempertahankan langkah itu sebagai cara untuk mengelakkan pilihan raya yang kemudian terdedah kepada penularan lebih besar Covid-19.

Bagaimanapun pemerhati dan pembangkang melihat langkah itu sebagai usaha Muhyiddin dan Bersatu menyelamatkan diri daripada disingkirkan daripada kerajaan.

Lihat Komen
ADS