Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rawatan Covid-19 di rumah hanya 'pertimbangan' – KP Kesihatan

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan bahawa pihak kementerian kesihatan Malaysia (KKM) masih mempertimbangkan pilihan merawat pesakit Covid-19 di rumah menerusi “kriteria yang tepat”

Dia berkata demikian selepas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah Masidi Manjun mengesahkan bahawa persiapan sedang dibuat bagi merawat pesakit positif Covid-19 di rumah.

“Ini adalah salah satu kategori untuk mitigasi, sekiranya kami perlukan katil.

“Jika kriteria itu betul, kita boleh pertimbang untuk gunakan untuk merawat pesakit di rumah.

“Itu adalah satu pilihan yang kita sedang teliti tetapi apa yang boleh dikatakan, kapasiti masih ada untuk kuarantin dan pusat rawatan bagi pesakit Covid-19 yang bergejala rendah, penggunaan hanya 30 peratus.

“Kami sedang membincangkan pilihan itu,” kata Noor Hisham kepada pemberita menerusi sidang media hariannya di Putrajaya hari ini.

Dia berkata demikian selepas ditanya pemberita berhubung kenyataan Masidi pada 22 Okt lalu yang menjelaskan bahawa pesakit di Sabah dinasihatkan untuk duduk di rumah jika gejala masih dapat diatasi.

Ditanya soalan sama sebelum itu, Noor Hisham menyatakan jawapannya merujuk kepada individu yang masih menunggu keputusan ujian saringan Covid-19 ekoran berlaku 'backlog' sampel ujian.

Dia berkata, mereka yang sedang menunggu keputusan ujian saringan Covid-19 yang kebiasaannya diperoleh antara tiga hingga lima hari dinasihatkan untuk “mendapatkan rawatan di rumah” dan tidak keluar selagi mendapat keputusan.

“Jika keputusan dah dapat, baru kita bawa mereka ke hospital,” katanya.

Semalam Masidi menegaskan bahawa pesakit awal Covid-19 boleh dirawat di rumah.

“Mengikut rekod kami, mereka dibenarkan menerima rawatan di rumah. Mereka dirawat dengan sewajarnya.

“Sudah tentu, ada di antara mereka mengharapkan rawatan segera tetapi kerana situasi yang terlalu rumit, ada kemungkinan kes terjadi ketika pesakit menerima rawatan agak lewat,” katanya lagi.

Menerusi sidang media hari ini, Noor Hisham turut mengulas berhubung tiga strategi terhadap kesiapsiagaan Sabah untuk mengendali kes yang sedang meningkat di negeri itu.

Jelasnya, strategi pertama adalah untuk meletakkan pesakit Covid-19 tahap ketiga dengan risiko gejala rendah di pusat rawatan dan kuarantin dan bukannya di hospital.

Risiko rendah merujuk kepada individu berumur bawah 60 tahun dengan tidak mengalami pelbagai jenis penyakit.

Strategi kedua adalah untuk mewujudkan hospital tambahan seperti hospital lapangan berdekatan Hospital Tawau dengan 100 kapasiti katil untuk bukan pesakit Covid-19 bagi memberi ruang kepada pesakit Covid-19.

Strategi ketiga, katanya, untuk mempertimbangkan kuarantin di rumah bagi kes pesakit Covid-19 yang tidak bergejala.

“Tetapi kita perlu lihat jika mereka ada ruang dan kesesuaian, baru boleh pertimbangkan. Jika tak sesuai tak boleh.

“Tetapi setakat ini, kita masih ada kapasiti,” katanya.

Untuk rekod, semalam Masidi juga dilaporkan berkata bahawa katil di Sabah sudah hampir 99.5 peratus penuh.

Bagaimanapun, Noor Hisham berkata hanya 70 peratus katil digunakan di Sabah.

Lihat Komen
ADS