Malaysiakini
BERITA

Apandi: Apa salah dari segi undang-undang untuk isytihar darurat?

Diterbitkan

Bekas Peguam Negara Mohamed Apandi Ali mengecam kritikan terhadap langkah kerajaan yang mahu mengisytiharkan "darurat".

Katanya, negara-negara lain telah mengisytiharkan darurat untuk memerangi Covid-19, begitu juga Malaysia dalam berhadapan krisis kesihatan awam sebelum ini.

"Negara-negara lain, seperti Jepun, Perancis, Thailand dan New Zealand telah memilih untuk mengisytiharkan darurat bagi memerangi wabak Covid 19.

"Jadi, apa yang salah dari segi undang-undang mengenai isytihar darurat.

"Kita telah melakukannya sebelum ini untuk memerangi pencemaran rentas sempadan (jerebu) pada tahun 2005 dan 2013," kata Apandi dalam satu kenyataan ringkas.

Kabinet semalam dilapor bersetuju untuk melaksanakan "darurat"  yang dikatakan bagi menangani penularan Covid-19.

Bagaimanapun, pembangkang berpendapat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak yakin akan memenangi undi Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, yang akan menunjukkan dia hilang sokongan majoriti anggota parlimen.

Pendapat Apandi ini berbeza dengan pandangan bekas peguam negara Tommy Thomas.

Thomas berkata, tindakan kerajaan adalah tidak berperlembagaan sekiranya menggantung parlimen dan melaksanakan Belanjawan 2021 dengan keputusan eksekutif.

Memetik perlembagaan, beliau berkata Parlimen boleh berfungsi seperti biasa walaupun dalam keadaan darurat.

"Sudah terang dan jelas bahawa mengisytiharkan darurat tidak akan membawa hasil yang diharapkan. Parlimen harus melaksanakan tugasnya.

"Oleh itu, Dewan Rakyat harus bersidang seperti biasa bagi sesi pembentangan belanjawan pada awal November, seperti yang dijadualkan," katanya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan