Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pesakit positif Covid-19 di Sabah kongsi pengalaman terima rawatan

Kehilangan deria bau secara tiba-tiba telah mendorong pasangan dari Papar Sabah, Suzana Muhammad,46, dan Zainuddin Abdul Khalic, 48, untuk melakukan ujian saringan Covid-19.

Selepas menanti tiga hari keputusan ujian saringan, mereka akhirnya terpaksa akur kerana disahkan positif Covid-19 meskipun tidak mempunyai kontak rapat dengan mana-mana pesakit sebelum ini.

“Petang itu (pada 17 Okt lalu) kami terima keputusan (positif) tetapi (pejabat kesihatan daerah Papar) tidak beritahu nak bawa ke pusat kuarantin atau hospital dan mereka suruh duduk di rumah dahulu, Jadi kami kuarantin di rumah,” kata Suzana ketika dihubungi Malaysiakini, semalam.

Bagaimanapun Suzana berkata pada malam 17 Okt, suaminya Zainuddin mula mengalami masalah pernafasan namun mereka terpaksa menunggu sehari untuk mendapatkan khidmat ambulans.

“Suami saya sudah mula susah nak bernafas dan saya terus telefon Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) tetapi mereka kalau tak boleh buat apa, tetapi kalau dah teruk sangat cuba telefon talian 999.

“Malam itu kami teragak-agak lagi, tetapi pagi (18 Okt) saya call juga talian 999 kerana suami dah tak tahan sangat, tetapi bila telefon talian itu mereka kata ambulans penuh dan suruh telefon bahagian kecemasan hospital pula.

“Kami telefon dan akhirnya kena tunggu lama sedikit dan akhirnya ada telefon dari hospital Papar sendiri beritahu yang mereka akan sediakan ambulans dan bawa suami saya,” katanya yang juga merupakan seorang guru.

Tambah Suzana, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut datang pada hari sama untuk menjalankan ujian saringan buat semua enam anaknya yang tinggal di rumah.

Namun, nasib tidak menyebelahi keluarga itu setelah tiga dari enam anaknya pula telah disahkan positif pada 23 Okt lalu.

“Semua enam anak saya yang buat ujian saringan pada 18 Okt akhirnya semalam saya dapat tahu tiga positif.

“Dan sekarang memandangkan dah ramai, saya dan anak-anak (tak lagi menjalani kuarantin di rumah) tetapi harus ke pusat kuarantin,” katanya.

Meskipun Suzana berasa tindakan pegawai kesihatan untuk meminta dia dan suami kuarantin di rumah telah menjejaskan kesihatan anaknya, namun dia memahami keadaan hospital yang sarat dengan pesakit positif yang mungkin lagi kronik dari keluarganya.

Terdahulu, jurucakap rasmi Covid-19 di Sabah Masidi Manjun, mengatakan negeri itu telah membuat persediaan untuk membolehkan pesakit Covid-19 dirawat di rumah masing-masing.

Jelas Masidi, langkah itu adalah satu daripada beberapa strategi yang diambil kerajaan Sabah untuk menangani pesakit Covid-19 yang ramai di negeri itu.

"Dengan itu ia akan membolehkan mereka tidak perlu ke pusat kuarantin atau pusat rawatan, misalnya, dan ia berkesan jika mereka tinggal bersendirian, atau berdua dan berada di tempat sama dan boleh mengkuarantin diri sendiri," katanya.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan bahawa pihak kementerian kesihatan Malaysia (KKM) masih mempertimbangkan pilihan merawat pesakit Covid-19 di rumah menerusi “kriteria yang tepat”.

Malaysiakini sudah menghubungi pejabat kesihatan daerah Papar untuk mendapatkan respons berhubung keadaan ambulan yang penuh dan masih menunggu respons.

Sementara itu, Suzana berharap pengalaman yang dialaminya membuka mata rakyat supaya peka untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan lebih berhati-hati.

Tambahnya, dia juga berharap ancaman Covid-19 yang melanda di negerinya reda secepat mungkin dan kerajaan dapat membantu untuk mengekang penularan Covid-19.

“Saya tahu walaupun lambat, KKM dan pegawai kesihatan tetapi berikan maklum balas kepada kami. Dengan keadaan di Sabah, saya yakin semua memahami sekiranya lambat.

“Saya juga nak ucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang susah payah bertugas untuk kurangkan ancaman wabak Covid-19,” katanya lagi.


Lihat Komen
ADS