Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sokong Belanjawan 2021: Amanah akan bincang dalam Majlis Presiden PH

Amanah akan membuat sebarang keputusan keadaan politik semasa termasuk sokongan terhadap Belanjawan 2021 pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Presidennya Mohamad Sabu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai titah Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya semua ahli parlimen menyokong Belanjawan 2021.

Mohamad juga disoal jika terdapat pembubaran parlimen adakah ahli parlimen Kota Raja itu yakin dapat mengekalkan kerusinya.

"Esok kita buat keputusan dalan mesyuarat PH.

"Esoklah kita buat keputusan," katanya sambil mengulangi jawapannya kepada beberapa soalan yang ditanya pemberita di perkarangan ibu pejabat Amanah di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Sultan Abdullah menekankan pentingnya belanjawan berkenaan dalam menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Ditanya lanjut mengenai perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH, Mohamad berkata ia meliputi pelbagai perkara.

Mohamad Sabu (gambar, kiri) melancarkan projek  keusahawanan Pemuda Amanah.

"Berbagai perkara apa saja di bawah langit, under the sky," katanya yang turut dikenali sebagai Mat Sabu.

Kerajaan baru-baru ini bercadang untuk mengisytiharkan darurat, yang dikatakan bagi memerangi wabak Covid-19.

Bagaimanapun, pengkritik mendakwa langkah itu dilakukan bagi menyelamatkan kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri menjelang pembentangan Belanjawan 2021 di parlimen.

Agong selepas sidang khas bersama lapan Raja-Raja Melayu kemudiannya bertitah bahawa tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia buat masa ini.

Baginda sebaliknya mengingatkan ahli-ahli politik supaya menghentikan segera percaturan politik yang boleh menggangu kestabilan negara, selain menegaskan bahawa Belanjawan 2021 amat penting bagi kesejahteraan rakyat.

Lantaran itu, ramai pihak menyeru kerjasama dwiparti bagi meluluskan Belanjawan 2021.

Veteran DAP Lim Kit Siang mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk membuat perjanjian "keyakinan dan perbekalan" dengan pembangkang manakala Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal pula menggesa semua pihak untuk bekerjasama.

Dalam sistem parlimen Westminster perjanjian "keyakinan dan pembekalan" bermaksud sesebuah parti itu atau ahli palimen bersetuju menyokong undi percaya atau rang undang-undang kerajaan sedia ada, sama ada dengan pengundian memihak kepada dasar tersebut atau pun mengecualikan diri.

Ini berbeza dengan aturan undian di parlimen berdasarkan gabungan parti pemerintah, yang mana MP perlu mengundi kerajaan pada setiap RUU.

Persidangan Dewan Rakyat berikutnya akan bermula pada 2 November.

Belanjawan 2021 dijadualkan dibentangkan pada 6 November dengan pengundian pada 17 November.

Lihat Komen
ADS