Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiga cara elak darurat tapi boleh ada pilihan raya - Ahli ERC
Diterbitkan:  Nov 1, 2020 12:05 AM
Dikemaskini: 4:12 PM

Ahli Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya (ERC) dan penganalisis politik Wong Chin Huat mencadangkan tiga cara pilihan raya boleh diadakan tanpa eksekutif perlu menggunakan pengumuman darurat.

Ini selepas ucapan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang disiarkan di televisyen bagi menjelaskan alasan beliau memohon pengisytiharan darurat untuk mengelakkan pilihan raya kecil dan pilihan raya Sarawak kerana wabak Covid-19.

Kaedah pertama, kata Wong dalam catatan Facebook, adalah untuk parti pemerintah menjadikan pilihan raya kecil "bukan acara mustahak."

"Sekiranya Bersatu tidak menyertai pilihan raya kecil Batu Sapi, sebagaimana Pakatan Harapan menjauhkan diri daripada pilihan raya kecil Chini, maka walaupun beberapa parti kecil atau calon bebas mengambil bahagian, pilihan raya kecil itu akan menjadi acara yang tidak mustahak," kata Wong.

Pilihan raya kecil Batu Sapi dijadualkan pada 5 Disember. Setakat ini, PH, BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) telah berjanji untuk tidak bertanding pada pilihan raya kecil itu bagi memberi laluan kepada Warisan, yang memenangi kerusi itu pada tahun 2018.

Kerusi Parlimen Batu Sapi ialah sebahagian dari daerah Sandakan, yang pada tengah hari semalam, merekodkan 875 kes Covid-19 baru dalam tempoh 14 hari.

Kedua, Wong berkata pengisytiharan darurat tidak perlu sekarang untuk mengelakkan pilihan raya Sarawak, kerana secara sah, pilihan raya dapat ditangguhkan hingga 5 Ogos.

"Sekiranya Gabungan Parti Sarawak berkhidmat untuk tempoh penggal penuh, mengapa kita memerlukan darurat selama 10 bulan," soal Wong.

Perkara 21 (4) Perlembagaan Sarawak menetapkan bahawa pilhan raya untuk dewan undangan negeri Sarawak perlu diadakan tanpa enam puluh hari dari tarikh pembubaran.

DUN Sarawak akan dibubarkan secara automatik pada 7 Jun tahun depan.

Wong berkata cara ketiga sebagaimana beberapa negara seperti Korea Selatan, Singapura dan New Zealand yang telah menunjukkan bahawa ada mekanisme untuk mencegah lonjakan kes Covid-19.

Menurutnya, terdapat banyak kemudahan untuk pengundi yang tidak hadir di pusat mengundi bagi mengurangkan jumlah orang di situ dan mencegah perjalanan antara negeri atau antara daerah.

"Terdapat perdebatan di televisyen antara pemimpin parti dan waktu siaran percuma bagi semua calon di semua kawasan untuk menggantikan perhimpunan dan kempen dari pintu ke pintu.

"Penguatkuasaan yang ketat terhadap SOP Covid-19 untuk VVIP," kata Wong.

Wong ialah anggota ERC yang ditubuhkan oleh perdana menteri sebelum ini Dr Mahathir Mohamad.

ERC telah mengemukakan 49 syor kepada perdana menteri sekarang untuk merombak sistem pilihan raya, yang turut merangkumi sistem pemilihan wakil berdasarkan nisbah undi untuk menggantikan sistem pemenang undi terbanyak.

Menjelang akhir November, ERC akan dibubarkan.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS