Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
1,032 kes baru, 8 kematian, 82 di ICU
Diterbitkan:  Nov 4, 2020 6:13 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

Jumlah kes positif harian Covid-19 di Malaysia terus berada pada empat digit hari ini, iaitu pada 1,032 kes berbanding 1,054 kes yang dicatakan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 35,425 kes dengan kes aktif sebanyak 10,339.

Dia berkata daripada kes baru itu, Sabah kekal merekodkan jumlah kes tertinggi dengan sebanyak 646 kes.

“Sabah mencatatkan jumlah sebanyak 646 kes atau 62.6 peratus daripada keseluruhan kes positif harian.

“Negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan 244 kes atau 23.6 peratus. Manakala, Labuan pula mencatatkan 28 atau 2.7 peratus kes positif pada hari ini.

“Kelima-lima negeri ini telah menyumbang sebanyak 918 kes atau 89 peratus secara keseluruhan. Negeri-negeri ini masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.

Jumlah kes baru mengikut negeri adalah seperti berikut: Sabah (646 kes), Selangor (231), Negeri Sembilan (44), Labuan (28), Kedah (25), Pulau Pinang (23), Pulau Pinang (23), Sarawak (9), Kuala Lumpur (7), Perak (6), Putrajaya (4), Terengganu (3), Kelantan (2), Johor (1).

"Daripada 1,029 kes penularan di dalam negara, satu kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah.

"Ini menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September lalu adalah sebanyak 479 kes," katanya.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa terdapat enam kluster baru dikenal pasti pada hari ini manakala dua kluster - Embun di Selangor dan Bah Tanjung di Terengganu - diisytiharkan tamat.

Sementara itu, daripada keseluruhan kes baru terdapat tiga kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara. Semua kes melibatkan bukan warga negara yang tiba dari India, Singapura dan Filipina.

Dr Noor Hisham berkata terdapat sebanyak 820 kes pulih Covid-19 dan dengan perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 24,815 atau 70 peratus.

“Sehingga kini, terdapat 82 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 27 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan lapan kes kematian berkaitan Covid-19," katanya sambil menambah semua tujuh mangsa adalah dari Sabah dan seorang lagi di Perak.

Daripada jumlah itu, enam adalah warga negara dan dua lagi bukan warga negara. Sebahagian besar juga adalah mereka yang berusia lebih 50 tahun dan dengan latar belakang mempunyai sakit seperti kencing manis, darah tinggi dan asma.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid19 di Malaysia sekarang adalah sebanyak 271 kes atau 0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

 

Lihat Komen
ADS