Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Total lockdown' tidak perlu pada masa ini- menteri

PARLIMEN | 'Total lockdown' atau sekat keluar masuk secara menyeluruh tidak perlu dilaksanakan pada masa ini, namun masih boleh dipertimbangkan bagi menangani penularan pandemik Covid-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata Malaysia kini dalam peringkat pemulihan dan melaksanakan langkah dasar keluar menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) secara berhati-hati dengan pembukaan berperingkat hampir kesemua sektor ekonomi dan sosial berpandukan prosedur operasi standard (SOP).

"Mekanisme pengurusan krisis negara yang telah dilaksanakan ini telah berjaya mengawal penularan wabak Covid-19 dan mengelakkan fasiliti kesihatan seperti hospital dan klinik terbeban dengan jumlah kes yang terlalu tinggi," katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) berhubung mengapakah kerajaan sehingga kini tidak melaksanakan sekat keluar masuk memandangkan berlakunya peningkatan kes Covid-19.

Mohd Redzuan berkata sekiranya sekat keluar masuk secara menyeluruh dibuat, ia akan memberi kesan negatif termasuk terhadap kesihatan mental dan ekonomi.

"Kerajaan seharusnya membuat kawalan yang seimbang melalui keadah pencegahan yang terbaik iaitu dengan membudaya dan mengamalkan normal baharu kehidupan seperti penjarakan sosial dan pematuhan kepada kawalan kebersihan seperti kerap membasuh tangan dan menjaga kesihatan diri sendiri," katanya.

Menjawab soalan tambahan Shahidan mengenai sama ada kerajaan akan mengkuarantin ahli parlimen yang pulang ke kawasan masing-masing khususnya di Zon Merah ketika sidang Dewan Rakyat berlangsung, Mohd Redzuan berkata Parlimen telah menetapkan kesemua mereka perlu menjalani ujian saringan Covid-19 setiap dua minggu serta mengikuti SOP yang ditetapkan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS