Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peraturan baru seimbangkan urusan parlimen, wabak - MP pembangkang

Walaupun terdapat beberapa batasan berhubung peraturan baru mencegah Covid-19 di parlimen, namun kata Ahli Parlimen DAP Anthony Loke ketua whip parti-parti pembangkang telah mencuba sebaiknya untuk menyeimbangkan antara nasihat KKM dan urusan Dewan Rakyat.

Sidang parlimen akan menyaksikan hanya 80 daripada 222 ahli parlimen yang dibenarkan berada di dalam Dewan Rakyat pada satu-satu masa.

Ketetapan itu akan bermula esok, ketika pembentangan Belanjawan 2021. Bagaimanapun, ketika proses pengundian belah bahagi, semua ahli parlimen dibenarkan berada dalam Dewan Rakyat.

Menurut Loke, 80 ahli parlimen dalam satu sesi pada satu masa tidak sama dengan hanya 80 ahli parlimen sahaja yang dibenarkan menghadiri persidangan itu.

Ini, jelasnya kerana setiap orang boleh bergilir-gilir masuk ke dalam dewan.

"Maksudnya selepas saya selesai sesi perbahasan saya, maka ahli parlimen lain boleh masuk. Ia seperti sistem pasangan, kerana kita semua tidak boleh bercakap pada masa yang sama.

"Oleh itu, jangan salah faham bahawa hanya 80 ahli parlimen sahaja yang dibenarkan menghadiri persidangan, tidak," tegasnya, sambil menambah 80 MP bersamaan sekitar satu pertiga daripada 222 anggota Dewan Rakyat.

Loke juga berkata jumlah masa perbahasan tahap dasar belanjawan hanya dikurangkan 1.5 jam setelah Dewan Rakyat bersetuju untuk memberikan tambahan dua hari bagi perbahasan dan memotong waktu makan tengah hari.

"Biasanya kami mempunyai satu setengah jam waktu makan tengah hari tetapi sekarang tidak lebih... yang menjadikan waktu persidangan hanya berkurang dua jam.

"Tetapi kami mempunyai dua hari tambahan untuk menampung hal ini, yang bermaksud masa perbahasan peringkat dasar tidak banyak berkurang," jelasnya lagi.

Dalam keadaan biasa, sidang Dewan Rakyat akan bermula dari 10 pagi ke satu tengah hari, kemudian 2.30 petang ke 5.30 petang yang mana jumlah waktu sidang selama enam jam.

Bagaimanapun, mulai minggu depan, Dewan Rakyat akan bersidang dari pukul 10 pagi hingga dua petang sahaja yang secara keseluruhannya hanya empat jam sehari.

Loke berkata langkah pencegahan hanya dilaksanakan dalam keadaan semasa dan ketua whip parti akan mengkaji semula SOP ketika perbahasan belanjawan pada peringkat jawatankuasa.

"Jika keadaan (wabak) bertambah baik lepas tiga minggu, maka kita boleh kembali normal. Langkah-langkah itu boleh dikaji semula.

"Sekiranya (lebih banyak masa perbahasan) diperlukan, maka kita boleh meningkatkan hari parlimen bersidang. Ini adalah permuafakatan kami (kelmarin), hanya memerlukan kelulusan ketua Dewan Rakyat,” kata ahli parlimen Seremban itu.

Kata Loke lagi, tidak ada rang undang-undang selain belanjawan yang akan dibahaskan pada sesi parlimen ini.

"Saya percaya semua ahli parlimen akan berusaha sebaik mungkin untuk melaksanakan tugas kita dalam keadaan khas ini," katanya.

Sementara itu, ketua whip ahli parlimen Warisan Rozman Isli (gambar, atas) percaya peraturan baru itu tidak akan membawa banyak kesan negatif terhadap sesi parlimen.

"Saya rasa tidak ... selebihnya masih dapat mendengarkan pembentangan atau perbahasan dari layar televisyen. Ia hanya kurang seronok di dewan.

"Sudah tentu saya dan ahli parlimen Warisan yang lain berharap agar kita dapat mengadakan persidangan paling penting tahun ini tanpa sekatan tambahan ini. Tetapi kami memahami perlunya mengambil langkah berjaga-jaga ini kerana penularan wabak Covid-19 ini,” kata ahli parlimen Labuan itu.

Katanya, pertemuan ketua-ketua whip MP pembangkang semalam memutuskan hal itu "setelah mendengar banyak hujah dan cadangan balas".

"Sebenarnya, semua keputusan agak kompromi atau jalan tengah. Kami mesti mendapat keseimbangan yang wajar.

"Kami, whip parti-parti pembangkang, telah berusaha sebaik mungkin untuk memastikan bahawa majoriti ahli parlimen masih berpeluang untuk membahaskan belanjawan. Oleh itu, jumlah hari untuk perbahasan di peringkat dasar diberi tambahan sebanyak dua hari," katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Amanah, Hasanuddin Yunus (gambar, bawah) berkata, ketua-ketua whip ahli parlimen pembangkang terpaksa membuat keputusan berkenaan bagi mematuhi SOP pencegahan Covid-19.

"Ketika ada keperluan semua akan masuk Dewan Rakyat kerana pengiraan undi tidak lama.

"Kita cuba elak sesi yang dihadiri ramai dalam tempuh lebih empat jam. Proses undi tidak sampai sejam dalam mengekalkan SOP ketat," katanya.

Menjelaskan lanjut, Hasanuddin berkata AManah menyusun jadual ahli-ahli parlimennya secara "bergilir-gilir."

"Semasa undi semua masuk," katanya lagi.

Awal hari ini, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mengumumkan hanya hanya 80 daripada 222 ahli parlimen dibenarkan menyertai sidang Dewan Rakyat dalam satu masa, yang merangkumi 41 orang dari kerajaan dan 39 orang dari pembangkang dan bebas,

Pemilihan ahli parlimen yang menyertai sidang akan ditentukan parti masing-masing dan mereka yang hadir akan diberikan kad khas untuk merekodkan kehadiran.

[Baca laporan asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS